Sumber Gambar: PNL

Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) akan mengemukakan saman kepada bekas presidennya Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie di atas “tragedi” yang menimpa persatuan itu dan juga bola sepak negeri Perlis selama di bawah pengurusannya.

Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata tindakan itu harus dilakukan bagi membersihkan nama PFA sekaligus menyelesaikan masalah yang melanda persatuan ketika ini diselesaikan dengan segera.

Menurut Abdul Karim, tindakan saman itu sudah dibincangkan bersama pengurusan pasukan dan PFA akan segera melantik peguam dalam masa terdekat.

“Kami akan menghantar surat saman sebaik isu penyingkiran Perlis selesai bagi memastikan dia (Ahmad Amizal Shaifit) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap masalah yang timbul ini.

“Tindakan itu (saman) juga bagi membersihkan nama PFA yang selama ini sudah tercalar selain menjaga reputasi Singa Utara yang dipalit pelbagai isu,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, bekas pemain skuad kebangsaan, Hasmawi Hassan merayu supaya bekas presiden PFA itu keluar dari persembunyian beliau dan bertanggungjawab terhadap kerosakan yang sudah beliau lakukan.

Malah bagi Hasmawi, yang juga sebelum ini dilantik sebagai pegawai khas kepada Ahmad Amizal Shaifit turut mahu bekas presiden itu memperbetulkan kesilapan yang sudah dilakukan seterusnya bersemuka dengan pemain, barisan jurulatih dan peminat bagi menerangkan keadaan sebenar.

Walaupun Ahmad Amizal Shaifit sudah tidak lagi menyandang jawatan presiden PFA, beliau perlu sedar bahawa tindakannya sebelum ini menyebabkan pasukan Singa Utara boleh dikatakan musnah termasuk membabitkan pemain akar umbi.

Selain itu, Abdul Karim Khan turut terkilan apabila bekas presiden terbabit mengambil keputusan untuk melepas tangan dan menyerahkan kepada pengurusan sekarang untuk menguruskan segalanya seperti tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Baca Juga: PFA Mahu Hantar Rayuan Sekali Lagi

Leave a Reply