Sumber Gambar: PKNP FC

Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berang dengan persembahan longlai yang ditampilkan oleh dua pemain import di posisi pertahanan, Siyovush Asrorov dan Amani Aguinaldo pada perlawanan menentang Pahang Sabtu lalu.

Menurut Abu Bakar yang mesra disapa Burn, kedua-dua pemain sepatutnya menampilkan persembahan terbaik dengan menyekat segala gerakan serangan pasukan lawan yang diketuai oleh Ze Love dan Norshahrul Idlan Talaha. Namun keduanya gagal berbuat demikian dan perkara ini nyata membuatkan Abu Bakar berang.

“Tiada kawalan, tiada hadangan terhadap penyerang lawan menyebabkan Pahang dapat menjaringkan gol dengan mudah.

“Seperti menentang Felda United minggu lalu, malam tadi kami bolos seawal minit kedua perlawanan,” katanya kepada Stadium Astro.

Lebih mengecewakan Abu Bakar ialah persembahan yang ditampilkan oleh pemain import dari Tajikistan, Siyovush Asrorov yang disifatkan Abu Bakar sebagai “indah khabar dari rupa”.

“Dalam lima perlawanan dia diturunkan, saya lihat dia gagal melaksanakan tugas dengan berkesan. Hadangan tidak ada, kawalan terhadap pemain lawan tiada. Dia hanya indah khabar daripada rupa walaupun datang dengan reputasi sebagai pemain kebangsaan.

“Sebagai pemain import, persembahannya sepatutnya jauh lebih baik daripada pemain tempatan,” ujarnya.

Setakat lima perlawanan Liga Super musim ini, PKNP hanya mampu mencatat satu keputusan seri dan tewas dalam empat perlawanan. Pasukan yang berpusat di Manjung ini hanya mampu menjaringkan 3 gol dan dibolosi 10 gol.

Tambah Abu Bakar, sebagai ketua jurulatih profesional, beliau menerima keputusan dengan baik walaupun pasukannya mengalami kekalahan. Namun pemain perlu menunjukkan sikap mahu melawan dan tidak terlalu menghormati pemain lawan.

“Saya bukan tidak boleh terima kekalahan tetapi bukan kalah dengan mudah gara-gara terlalu menghormati pemain lawan,” tambahnya.

Pada perlawanan minggu keenam Liga Super 2019, PKNP FC akan bertandang ke Larkin pada Sabtu ini bagi menghadapi juara bertahan, Johor Darul Ta’zim.

Abu Bakar perlu merencanakan sesuatu yang khusus bagi menyekat kemaraan barisan serangan JDT yang sudah terbukti taringnya serta pemain PKNP khususnya pemain import perlu memperbaiki kesilapan mereka dan mula menampilkan persembahan sebenar.

Baca Juga: Kuala Lumpur Semakin Tertekan

Leave a Reply