Sumber Gambar: MFL

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menafikan khabar angin yang mengatakan ketua jurulatih pasukan, B.Sathianathan akan digantikan dengan ketua jurulatih baru susulan prestasi kurang meyakinkan yang ditunjukkan pasukan dalam saingan Liga Super.

Berita yang beredar di media sosial ketika ini mengatakan tempat Sathia bakal diisi oleh ketua jurulatig asing dan jurulatih tersebut dikhabarkan sudah berada di sekitar Kuala Lumpur. Antara nama yang disebut ialah bekas ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote dan ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon menepis dakwaan Sathia bakal digantikan dan menyatakan pihak pengurusan berada teguh di belakang bekas pengendali skuad kebangsaan itu dan masih percaya Sathia mampu untuk memperbaiki prestasi semasa pasukan.

“Ia hanya khabar angin. Kami tidak akan membuat keputusan terburu-buru yang pada akhirnya boleh merugikan pasukan.

“FAS masih menaruh kepercayaan penuh kepada jurulatih untuk mengendali pasukan, malah pemain telah menunjukkan semangat juang tinggi untuk meraih kemenangan.

“Kalau tengok dua perlawanan terakhir ketika menentang Pahang dan JDT. Saya rasa semua setuju Selangor telah menunjukkan peningkatan berbanding perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setakat 5 perlawanan Liga Super musim ini, Selangor masih lagi belum merasai sebarang kemenangan dimana mereka hanya mampu mengutip 3 keputusan seri dan mengalami 2 kekalahan. Baru-baru ini, mereka tewas kepada Johor Darul Ta’zim dengan keputusan 4-2.

Prestasi tidak menentu Selangor membuatkan peminat setia pasukan menyalahkan Sathia. Peminat mempersoalkan pemilihan pemain dan juga formasi yang digunakan ketika hari perlawanan dan mereka menyifatkan bekas ketua jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan ini gagal untuk mengendalikan pasukan dengan baik.

Pada perlawanan Liga Super minggu keenam, Selangor akan bertandang ke Cheras dimana mereka akan menghadapi seteru Lembah Klang iaitu pasukan Kuala Lumpur.

Perlawanan ini merupakan peluang terbaik Selangor untuk mencatat tiga mata pertama musim ini sekaligus meredekan sedikit tekanan yang dihadapi Sathia, pemain dan juga pasukan.

Baca Juga: Faiz Nasir Sertai Letihan Pusat Skuad Kebangsaan ?

Leave a Reply