Sumber Gambar: MUSA

Bekas pemain tengah Selangor, Saiful Ridzuan Selamat bakal mengisi bahagian tengah Melaka United apabila pasukan itu turun berdepan Terengganu FC dalam saingan Liga Super minggu keenam pada esok.

Menurut ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, Liridon tidak dapat diturunkan pada perlawanan hujung minggu ini ekoran kecederaan yang dialami oleh bekas pemain tengah Kedah itu pada perlawanan menentang pasukan Kuala Lumpur minggu lalu.

Liridon memerlukan sedikit masa untuk pulih daripada kecederaan dan khidmat beliau tidak dapat digunakan. Namun, Zainal percaya Saiful Ridzuan mampu untuk mempamerkan prestasi cemerlang dimana beliau akan digandingkan dengan pemain berpengalaman seperti Safiq Rahim dan Darko Markovic.

“TFC diakui pasukan yang matang berdasarkan rekod persembahan sebelum ini, tambahan aksi berlangsung di laman mereka. Justeru sudah pasti skuad terbabit mahu merekodkan kemenangan.

“Namun kejayaan mengatasi KL 2-0 minggu lalu jelas bekalan terbaik buat kami mengintai mata maksimum walaupun menyedari tuan rumah berusaha keras menyekat kemaraan skuad Hijau Putih,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada masa yang sama, bekas pengendali Pahang dan Selangor itu melahirkan rasa lega dimana pemain yang lain bebas daripada sebarang kecederaan termasuk pemain pertahanan, Ahmad Khuzaimee Piee yang pengsan terkena bola ketika berdepan PKNS FC tiga minggu lalu.

Oleh itu, Zainal mempunyai pilihan yang lebih luas untuk memilih pemain bagi diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan. Ini kerana pasukan dalam misi untuk mengekalkan kedudukan empat teratas liga dan mengintai tempat lebih baik.

Zainal turut mengingatkan agar anak buahnya tidak terlalu memikirkan kelebihan TFC yang beraksi di depan penyokong mereka. Pengendali berusia 56 tahun ini turut menggesa pemainnya merebut kesempatan dan setiap peluang yang terhidang sekaligus menterjemahkannya kepada jaringan bagi memastikan Melaka United membawa pulang tiga mata berharga.

Jika berjaya meraih tiga mata, maka Melaka United akan kekal berada di kelompok empat pasukan teratas Liga Super. Namun mereka dijangka bakal menerima tentangan hebat daripada pasukan tuan rumah kerana Terengganu FC juga mempunyai misi tersendiri iaitu mahu mencatat kemenangan di laman sendiri.

Baca Juga: Peminat Melaka Berang Soal Jersi “Home” Pasukan

Leave a Reply