Sumber Gambar: FAM

Beberapa pengurusan pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia berpendapat isu penajaan yang sedang dihadapi oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan dapat diselesaikan dengan baik oleh badan pengelola itu.

Dua wakil persatuan negeri iaitu Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yakin dengan kewibawaan serta kemampuan MFL yang diterajui Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut mengenai penajaan.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi meminta agar semua persatuan bola sepak negeri bertenang dan jangan mudah panik.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, semua persatuan negeri serta kelab seharusnya memberi ruang kepada MFL bagi mencari penaja baharu.

“Kami di Melaka United percaya kepada MFL. Mereka sedang berusaha mencari penaja. Kami faham, proses itu memakan masa dan menyebabkan berlakunya kelewatan. Perkara ini berlaku di luar jangkaan. Kami yakin MFL mampu menyelesaikan tanggungjawab mereka kepada pasukan yang bertanding dalam Liga M,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Timbalan Presiden PAFA, Abd Aziz Yeop Jamaluddin turut senada dengan Yusoff Mahadi dimana beliau percaya kepada Tunku Ismail bagi memastikan kebajikan pasukan dalam Liga Malaysia terjamin.

“Saya percaya kepada TMJ dan MFL. Pasukan akan menerima geran sebaik sahaja penaja dapat dicari. Saya yakin persatuan tidak terjejas,” kata Abdul Aziz.

Sebelum ini, MFL menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah hari ini mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia (TM). Kedua-dua pihak telah menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun pada 29 Januari tahun lalu.

Menerusi perbincangan bersama Ahli Lembaga Pengarah, MFL kemudiannya membuat keputusan untuk merujuk perkara ini kepada peguam, Faisal Moideen bagi tindakan sewajarnya.

Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kemudiannya mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam mengadakan perbincangan rasmi dengan pihak-pihak yang berminat untuk menjadi penaja baru Liga Malaysia.

Baca Juga: Kim Swee Lega Skuad Bawah 23 Tahun Lengkap

Leave a Reply