Sumber Gambar: FAM

Badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengambilan pemain naturalisasi untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan, pihaknya memiliki tiga jenis pendekatan iaitu program bagi jangka masa pendek, pertengahan dan panjang dengan pihaknya sudahpun menyiapkan kertas kerja untuk prosedur operasi standard (SOP) bagi pengambilan pemain naturalisasi.

“Bukan untuk kejayaan segera tetapi kita memang perlukan pemain naturalisasi. Kita juga mungkin tidak mahukan begitu ramai sehingga 20 atau 30 pemain.

“Apabila sampai masanya, kita akan berhenti (guna pemain naturalisasi), sebab itulah kita ada pelan jangka masa pendek, pertengahan dan panjang.

“Kita tidak mahu gagal seperti beberapa negara yang pernah mengambil pendekatan sama dan kita mengadakan kajian mendalam berhubung perkara ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Tambah Datuk Hamidin, kertas kerja tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco yang akan berlangsung pada 30 Mac ini sebelum mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan bagi menjayakan program naturalisasi pemain kebangsaan.

“Isu ini membabitkan kelulusan kerajaan kerana ada kriteria tertentu di mana mungkin ada keistimewaan untuk kes sebegini.

“Kita juga turut mengambil berat mengenai kebimbangan sekiranya pemain naturalisasi mengambil kesempatan mendapatkan pasport Malaysia untuk beraksi di negara lain,” katanya.

Setakat ini, pasukan kebangsaan diwakili oleh seorang pemain naturalisasi iaitu pemain sayap Pahang kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh.

Pemain berusia 26 tahun ini juga telah membuat penampilan di kejohanan antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya lebih tepatnya pada saingan Piala AFF Suzuki tahun lalu. Sumareh membantu Malaysia muncul naib juara kejohanan tersebut.

Antara kriteria utama untuk mendapatkan status naturalisasi adalah pemain terbabit perlu tinggal di negara ini selama lima tahun selepas berusia 18 tahun.

Selepas Sumareh, antara beberapa pemain dilihat berpotensi untuk ‘ditukar kerakyatan’ adalah penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula, pemain tengah Terengganu FC, Lee Andrew Tuck dan pemain tengah Melaka United, Liridon Krasniqi.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Mahu Pemain Kawal Emosi

Leave a Reply