Sumber Gambar: FAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyeru penyokong bola sepak tanah air untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan yang akan beraksi dalam kejohanan Piala Airmarine 2019.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan turun menentang pasukan Singapura pada hari ini dan FAM meminta para peminat untuk membanjiri stadium bagi memberikan sokongan kerana perlawanan ini merupakan perlawanan diantara dua seteru utama di kancah bola sepak Asia Tengggara.

FAM juga menafikan dakwaan kononnya pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, dijadikan alat mengaut keuntungan, sehingga harga tiket dinaikkan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata dalam dunia bola sepak moden, pasukan bola sepak kebangsaan adalah produk utama mana-mana badan induk yang dipertanggungjawabkan mengurus tadbir bola sepak.

“Dari sudut pemasaran dan komersial, FAM perlu memaksimumkan nilai pasukan kebangsaan bagi menjana pendapatan dan mencari sumber kewangan untuk disalurkan semula ke dalam bentuk pembangunan pasukan kebangsaan pelbagai peringkat umur.

“Sebagai badan induk yang berdepan masalah kewangan terhad, FAM mengalu-alukan tawaran pihak ketiga seperti ProEvents menganjurkan kejohanan sebegini.

“Bagi Piala AIRMARINE 2019, ProEvents sebagai promoter kejohanan ini mengambil risiko menganjurkan kejohanan sebegini dengan mencari sumber tajaan sendiri dan menanggung kos operasi penganjuran membawa masuk tiga negara ke Kuala Lumpur.

“Justeru, harga jualan tiket yang telah ditetapkan itu adalah bagi menampung kos-kos yang berkaitan. Sebelum ProEvents meraih apa-apa keuntungan, mereka perlu menampung terlebih dahulu kos yang telah dibelanjakan bagi menjayakan kejohanan ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, kumpulan penyokong pasukan kebangsaan, Ultras Malaya memutuskan untuk tidak hadir ke stadium sebagai tanda protes dimana menurut mereka pasukan kebangsaan dijadikan sebagai alat untuk mengaut keuntungan dan mengisi poket pihak tertentu.

Baca Juga: Tan Chneg Hoe Mahu Pemain Kawal Emosi

Leave a Reply