• Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan menggesa anak-anak buahnya untuk tidak takut dan lebih berani dalam memberikan tekanan kepada pemain Johor Darul Ta’zim apabila kedua-dua pasukan berentap di Stadium Shah Alam malam ini bagi saingan Liga Super 2019 minggu ke-5.

    Meskipun berdepan dengan tugasan sukar malam ini, namun perkara itu tidak boleh dijadikan alasan dan Sathia mahu peningkatan yang dipamerkan anak-anak buahnya ketika berdepan Pahang dikekalkan sekaligus cuba untuk mengejutkan skuad Harimau Selatan itu.

    “JDT adalah sebuah pasukan yang serba lengkap, pemain import dan pemain tempatan yang berkualiti selain memiliki semua kemudahan. Kita lihat mereka sukar digugat dalam tiga perlawanan pertama mereka musim ini.

    “Saya tahu ini bukanlah perkara yang mudah tetapi JDT pernah tewas pada aksi di gelanggang lawan. Jadi saya harapkan pemain dapat memberikan tekanan kepada mereka namun tekanan sahaja tidak cukup kerana mereka memiliki skuad yang berkualiti.

    “Kita menghormati kekuatan JDT tetapi kita jangan takut untuk bermain dengan mereka. Aksi menentang Pahang sudah cukup baik namun kita perlu jadi lebih baik untuk menentang JDT,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Tambah Sathia, dirinya kini berada dalam keadaan tertekan di atas prestasi hambar yang ditunjukkan oleh pasukan bimbingannya setakat ini. Selangor hanya mampu mencatat 3 keputusan seri dan mengalami satu kekalahan dalam saingan Liga Super.

    Namun, bekas pengendali kebangsaan dan Felda United itu mengharapkan para pemainnya dapat menunjukkan corak permainan yang agresif dan bertenaga serta lebih berani seperti yang ditunjukkan ketika bertemu dengan pasukan Pahang pada perlawanan malam ini.

    “Kemungkinan untuk meraih tiga mata pertama itu memang ada tetapi ia harus dijelmakan di atas padang. Saya mahu pemain memberikan 100 peratus komitmen dan jika bernasib baik, kita boleh dapatkan keputusan yang memihak kepada kita.

    “Saya berpuas hati dengan peningkatan pada aksi minggu lalu dan itulah yang saya mahu mereka tunjukkan dalam setiap perlawanan liga selepas ini,” tambahnya.

    Baca Juga: Selangor Serba Kekurangan Berdeppan JDT

    Leave a comment

    Your email address will not be published.