3 Pasukan Liga Perdana Lulus Perlesenan Kelab

Sebanyak 3 pasukan daripada jumlah 9 pasukan yang telah memohon lesen kebangsaan dari Liga Perdana telah lulus bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2019, jika layak.

Perkara ini telah diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 14 November lalu.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, 3 pasukan iaitu Felda United dan UiTM FC lulus dengan cemerlang manakala MISC-Mifa juga lulus tetapi dikenakan denda.

“Felda United FC dan UITM FC lulus dalam mendapatkan lesen kebangsaan manakala MIFA juga berjaya mendapatkan lesen kebangsaan tetapi dengan sanksi.

“Sementara itu, enam pasukan yang lain iaitu Sabah FA, Sarawak FA, Felcra FC, UKM FC, PDRM FA dan Penang FA telah ditolak permohonan mereka untuk mendapatkan lesen kebangsaan kerana gagal menepati kriteria yang telah ditetapkan,” kata Stuart.

Untuk makluman, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kebangsaan, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018.

Stuart menambah bagi pasukan yang gagal, mereka masih lagi boleh merayu dan badan induk itu sedia untuk mendengar dalam masa terdekat.

“Bagi pasukan-pasukan yang gagal, mereka telah pun diberikan surat pemakluman dan masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kebangsaan seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 yang mana rayuan mereka dijadualkan akan didengar dalam masa terdekat.”

Lesen Kebangsaan yang dikeluarkan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2019 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kebangsaan mereka boleh ditarik balik.

Harus diingatkan bahawa kelab tidak perlu lesen kebangssan untuk menyertai Liga Perdana musim 2019. Walau bagaimanapun, kelab wajib memerlukan lesen kebangssan untuk menyertai Liga Perdana dari musim 2020 dan seterusnya.

Baca Juga: Felcra FC Sah Tarik Diri Dari Saingan Liga Super

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *