30 Pemain Dipanggil Sertai Kem Latihan Skuad Bawah 21 Tahun
- Harimau Malaya
- Nov 15, 2018
- No comment
Ketua jurulatih pasukan bawah 21 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee telah memanggil seramai 30 pemain untuk menyertai kem latihan pusat dari 29 November hingga 9 Disember 2018 sebagai persediaan menjelang Piala Newspaper 2018 yang akan berlangsung di Vietnam dari 10 hingga 19 Disember 2018.
Anda boleh lihat senarai penuh 30 pemain yang dipanggil oleh Datuk Ong Kim Swee di sini.
Daripada 30 pemain yang dipanggil, ada nama seperti Nik Akif Syahiran, Faisal Rosli dan Dominic Tan yang beraksi untuk pasukan bawah 23 tahun negara ketika temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia Ogos lalu.
Selain beraksi di Sukan Asia, Nik Akif turut beraksi dalam temasya AFC Bawah 19 Tahun di Indonesia baru-baru ini disamping Shivan Pillay Asokan.
Tidak ketinggalan ada pemain tengah Felda United, Daniel Amier Norhisham yang menjaringkan gol kemenangan ketika skuad bawah 23 tahun negara menewaskan pasukan Arab Saudi pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dalam temasya AFC Bawah 23 Tahun di China awal tahun ini dimana gol tunggal beliau berjaya mengesahkan kemaraan Malaysia ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah kejohanan.
Satu lagi nama yang menarik perhatian ialah anak kepada legenda pasukan Sabah, Scott Ollerenshaw iaitu Jordan Ollerenshaw.
Pengalaman yang dimiliki oleh pemain yang disebutkan di atas dilihat mampu untuk membantu pasukan bawah 21 tahun negara memberikan cabaran dalam kejohanan Piala Newspaper 2018 nanti.
Selepas hampir sepuluh hari di kem latihan pusat, hanya dua puluh pemain akan dipilih ke Nah Trang City bagi menghadapi Kejuaraan Piala Newspaper 2018. Mereka akan berlepas ke Vietnam pada 10 Disember dan kembali ke tanah air pada 19 Disember 2018.
Kali terakhir Malaysia bertanding di dalam Piala Newspaper adalah pada tahun 2014. Malaysia juga berjaya menjulang piala kejuaraan tersebut pada tahun 2012, ketika itu di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Baca Juga: Kecergasan Sumareh Menjadi Tanda Tanya