4 Pemain Yang Seharusnya Dipanggil Tan Cheng Hoe
- Harimau Malaya
- Oct 24, 2018
- No comment
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Rabu ini (24 Oktober 2018) bagi menghadapi perlawanan persahabatan bertemu Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 November. Di sini, kami senaraikan 4 pemain yang penulis rasakan wajar dipanggil oleh Tan Cheng Hoe.
1. Faiz Nasir
Sumber Gambar: Terengganu FC
Prestasi cemerlang “Messi Ganu” bersama TFC musim ini masih lagi gagal untuk menambat hati Tan Cheng Hoe untuk memanggil beliau menyertai skuad kebangsaan. Meskipun berjaya membantu Terengganu C mara ke final Piala Malaysia, namun itu bagaikan tidak cukup untuk memasukkan beliau dalam senarai.
Penulis merasakan Faiz patut diberikan peluang untuk tampil bersama pasukan negara.
2. La’Vere Corbin-Ong
Sumber Gambar: JST
Sehingga saat ini, masih lagi tiada penjelasan mengenai ketiadaan Corbin-Ong dalam skuad yang menyertai kem latihan pusat. Sejak menyarung jersi Johor Darul Ta’zim pada awal musim ini, beliau masih lagi belum diuji bersama pasukan kebangsaan.
3. Muslim Ahmad
Sumber Gambar: Pahang FA
Muslim mempamerkan kebangkitan sejak menyertai pasukan Pahang musim lalu. Beliau dilihat sudah menemui semula rentak sepertimana ketika zaman kegemilangan beliau ketika beraksi bersama skuad bawah 23 tahun negara.
4. Natxo Insa
Sumber Gambar: JST
Natxo Insa hanya beraksi satu perlawanan bersama pasukan negara iaitu pada perlawanan persahabatan menentang Mongolia. Dengan adanya Natxo, barisan tengah pasukan negara dilihat boleh diperkemaskan lagi namun nama beliau tiada dalam senarai yang dikeluarkan oleh FAM baru-baru ini.
Itulah dia senarai 4 pemain yang menurut penulis harus dipanggil oleh Tan Cheng Hoe bagi menyertai kem latihan pusat pasukan negara menjelang perlawanan persahabatan menentang Maldives sekaligus sebagai persediaan terakhir menuju ke saingan Piala AFF Suzuki 2018.
Keempat-empat pemain di atas beraksi dengan baik buat pasukan masing-masing dalam saingan Liga Maaysia musim ini. Penulis percaya kehadiran mereka mampu untuk memantapkan lagi pasukan negara menjelang saingan Piala AFF Suzuki 2018 nanti.
Baca Juga: Peluang Ke Peringkat Kalah Mati Masih Terbuka