5 Derby Dalam Saingan Bolasepak Malaysia Musim 2018!
- Liga Perdana, Liga Super
- Jan 25, 2018
- No comment
Liga Bolasepak Malaysia akan bermula tidak lama lagi dalam kiraan hari. Seperti biasa, JDT selaku juara musim lepas bersaing di kelayakan Liga Juara-Juara AFC dan kalah, Kelantan kekal bersaing di Liga Super dan akan berjumpa dengan jiran mereka, Terengganu yang ‘menghilang’ selama semusim. PKNP dan Negeri Sembilan dianugerahkan kenaikan percuma kerana T-Team dan Felda United ditarik ke Liga Premier. FELCRA menggantikan tempat Sime Darby yang menarik diri dari Liga Premier.
Bagi saingan Liga Super dan Premier musim hadapan, kita akan disajikan dengan beberapa derby yang telah lama hilang dari kacamata pengulas sukan negara, bahkan ada di antaranya yang merupakan derby yang baru di Liga Malaysia. Berikut merupakan derby yang bakal menghiasi bolasepak negara musim hadapan. Kita abaikan derby yang sudah kekal sedia ada musim ini, seperti El Clasico Derby di antara Pahang dan JDT serta Derby Selangor (Selangor – PKNS) atau Derby Perak (Perak TBG – PNKP), atau Derby FELDA – FELCRA yang belum pernah terjadi.
1. DERBY LEMBAH KLANG (SELANGOR – KUALA LUMPUR)
Sumber Gambar: Goal.com
Sebagai juara Liga Premier, Kuala Lumpur mengesahkan kepulangan ke Liga Super musim hadapan. Kali terakhir Kuala Lumpur berada di Liga Super pada musim 2012, di mana mereka gagal meraih kemenangan dan mengutip 5 mata untuk berada di kedudukan terakhir liga (musim terakhir Liga Super memiliki 14 pasukan sebelum dikurangkan kepada 12 pasukan). Sebagai rekod, kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak 64 kali dan pertemuan terakhir pada perlawanan kumpulan Piala Malaysia 2016 di mana Selangor mengikat Kuala Lumpur 1-1 di Stadium Selayang. Pastinya kejuaraan Liga Premier ini akan menjadi satu suntikan bagi Kuala Lumpur musim hadapan untuk menghadapi jiran mereka, sekaligus kembali menghangatkan derby yang pernah menjadi bualan warga bolasepak tempatan dan juga peminat bolasepak Malaysia. Untuk tambahan, kali terakhir Kuala Lumpur memenangi perlawanan derby ini pada 10 tahun lepas.
2. DERBY PANTAI TIMUR ( KELANTAN – TERENGANU )
Sumber Gambar: The Star
Turut mengiringi Kuala Lumpur adalah Terengganu, naib juara Liga Premier. Terengganu hanya memerlukan satu musim untuk melakukan kemunculan semula selepas tersingkir ke Liga Premier musim lalu. Namun nasib tidak menyebelahi Terengganu apabila kalah 1-3 dengan PKNP di perlawanan akhir liga, menidakkan hasrat menjadi juara. Kelantan bagaimanapun bersyukur dengan jumlah jaringan yang sama apabila menewaskan Melaka bagi mengesahkan tempat di Liga Super 2018. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada perlawanan Liga Super 2016, di mana Kelantan membelasah Terengganu 6-1 dan penyerang import Blazhe Ilijoski menjaringkan 4 gol. Sebagai rekod, kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak 57 kali sejak 1983. Paling diingati oleh peminat bolasepak Malaysia apabila perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 di mana Daudsu Jamaluddin menjaringan gol sendiri di minitminit akhir perlawanan untuk menyamakan kedudukan 1-1 sebelum Nordin Ahmad menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.
3. DERBY BORNEO (SARAWAK – SABAH)
Sumber Gambar: The Borneo Post
Selepas gagal mencari gol di perlawanan akhir Liga Super, Sarawak terpaksa berputih mata turun ke Liga Premier 2018, menemani Pulau Pinang. Secara tidak langsung, mereka akan berjumpa dengan jiran mereka, Sabah. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada saingan Liga Premier 2013, di mana Sabah mengikat Sarawak 0-0 di Kuching sebelum Sarawak meraih kemenangan 2-1 di Likas. Musim itu juga menyaksikan Sarawak menjadi juara liga dengan rekod tanpa kalah – kali terakhir Sarawak berada di Liga Premier. Pertemuan kedua-dua pasukan agak menarik, apabila pernah bersama dengan Brunei bersaing di dalam Piala Borneo, sebelum ketiga-tiga pasukan bersetuju untuk menyertai Liga Semi-Pro yang baru ditubuhkan pada tahun 1989.
4. DERBY NANING (MELAKA UNITED – NEGERI SEMBILAN)
Sumber Gambar: PBNS
Selaku pasukan terakhir yang layak ke Liga Super bagi menggantikan T-Team, Negeri Sembilan kembali mengecapi kasta tertinggi liga selepas 5 tahun. Melaka selaku juara Liga Premier 2 tahun lepas telah mula mewarnai liga bolasepak tertinggi Malaysia selepas layak ke Piala Malaysia 2016, di mana kali terakhir perlawanan sesama kedua-dua pasukan ialah pada 23 Ogos 2016 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, R. Surendran menjaringkan gol pada min 80 bagi memastikan kemenangan Melaka United dan mengesahkan kenaikan ke Liga Super 2017. 2 minggu sebelumnya, pada 12 Ogos 2016, di mana Ilija Spasojevic menjaringkan 2 gol di Stadium Hang Jebat dalam persaingan Liga Malaysia 2016 bagi merapatkan mata dengan Negeri Sembilan yang hampir layak ke peringkat kalah mati. Derbi ini lebih kepada perlawanan sesama keluarga, di mana pada tahun 2016, kedua-dua penyokong akan saling bertukar bendera selepas perlawanan, tak kira di Hang Jebat atau Tuanku Abdul Rahman. Satu senario yang indah dalam bolasepak Malaysia.
5. DERBY UNIVERSITI (UITM – UKM)
Sumber Gambar: UKM FC
Selepas 3 tahun meninggalkan Liga IPT untuk mengambil bahagian di Liga FAM, UKM akhirnya berjaya dinaikkan ke Liga Premier 2018 selepas layak ke perlawanan akhir Liga FAM. Sementara itu UiTM telah berada di Liga Premier sejak musim 2013 bagi menggantikan tempat USM yang terpaksa menarik diri di atas sebab masalah kewangan. Sebelumnya UiTM turut bersaing di Liga FAM selama 5 musim. Kedua-dua pasukan universiti ini pernah bermain di Liga IPT Divisyen 1 pada tahun pertama penubuhannya di tahun 2010, dan kedua-dua pasukan juga berjumpa di perlawanan akhir Liga Bolasepak IPT 2010, di mana UiTM menewaskan UKM 3-0 di Stadium UiTM Shah Alam. Bekas pemain kebangsaan, Amirizdwan Taj menjaringkan gol pembukaan. Kapten pasukan UKM sekarang, Hafizuddin Sulaiman juga turut bermain pada perlawanan tersebut. Pastinya perlawanan di antara kedua-dua universiti terbesar di Malaysia ini bukan sahaja dinanti oleh para peminat bolasepak, namun juga oleh para pelajar dari kedua-dua universiti terbabit. Mungkin lagu UiTM Di Hatiku dan Varsiti Kita akan dimainkan sebelum perlawanan ?
Haa itulah 5 derby yang akan mewarnai Liga Bolasepak Malaysia musim ini. Derby mana satu yang anda tunggu-tunggu ? Mari kongsikan bersama kami.
Nota: Artikel ini ditulis oleh Ariff Ansaruddin. Jika anda ada artikel yang mahu dikongsikan dengan kami, jangan segan-segan untuk menghubungi kami di media sosial Inikan Bola.
Baca Juga: 5 Jambang Paling Menawan Dalam Liga Malaysia
Baca mengenai perlawanan derby paling menarik dalam bola sepak Asia di sini