5 Perkara Yang Boleh Dipelajari Daripada Kejayaan Skuad U23 Vietnam

Vietnam U23 mencatat sejarah menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggara berjaya layak ke perlawanan akhir kejohanan AFC U-23 di Kunshan, China apabila tewas kepada Uzbekistan di perlawanan akhir penuh drama. Kami senaraikan 5 perkara yang boleh dipelajari daripada kejayaan Vietnam kali ini.

 

Kerja Keras Mengatasi Bakat
Dalam perjalanan ke perlawanan akhir, Vietnam U23 mengalahkan beberapa negara gergasi Asia seperti Australia, Iraq dan Qatar. Kekuatan individu pasukan-pasukan ini lebih baik daripada Vietnam, tetapi mereka ialah pasukan yang memiliki hati paling besar dalam kejohanan ini. 3 kali mereka bermain dalam masa tambahan, hanya dikecewakan Uzbekistan beberapa saat sebelum tamat permainan.

 

Kualiti Bolasepak Asia Tenggara Makin Meningkat
2 pasukan dari Asia Tenggara, Vietnam dan Malaysia layak ke peringkat kalah mati dan memberi saingan sengit kepada gergasi-gergasi Asia lain. Ramai bakat dari Asia Tenggara mula mencuri tumpuan dari kejohanan ini seperti Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Quang Hai.

 

Pembangunan Bakat
Ramai pemain pasukan Vietnam U23 mempunyai kualiti yang cukup baik untuk bermain di liga-liga terbesar Asia seperti Jepun dan Korea. Persatuan bolasepak Vietnam berjaya merangka program pembangunan yang berkesan, sesuai dengan bakat-bakat dan sosio-budaya mereka. Hasilnya, ramai di kalangan pemain U-23 mereka ini sudah pun bermain dengan skuad senior Vietnam. Kami percaya, bagi Vietnam ini hanyalah permulaan mereka. Tidak mustahil mereka akan mampu mencabar di peringkat senior pula.

 

Semangat Dan Sikap Positif
Vietnam berjaya bangkit dari ketinggalan ketika bertemu Iraq, dan Qatar. Malah mereka hampir melakukannya sekali lagi di Final. Ini adalah petanda bahawa pemain-pemain Vietnam mempunyai karekter dan sifat tidak mahu mengalah. Ia juga adalah faktor utama kenapa mereka menjadi pasukan yang begitu berbahaya dalam kejohanan kali ini.

 

Disiplin
Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo menerapkan permainan yang penuh berdisiplin dalam pasukan ini. Mereka bermain sebagai satu unit dan sangat sukar ditewaskan. Pemain-pemain Vietnam tidak berhenti berlari sepanjang perlawanan, menyukarkan lawan mereka serta tidak gentar dengan status gergasi lawan. Kegigihan mereka menjadi bukti bahawa dalam sukan bolasepak, disiplin adalah perkara yang penting untuk mencapai kejayaan.

 

Walaupun tidak berjaya menjadi juara Asia, Vietnam telah membuktikan bahawa taraf permainan bolasepak di Asia Tenggara sudah meningkat. Pasukan-pasukan dari Asia Tenggara kini bukan lagi pasukan belasahan. Kejayaan Vietnam ini harus dijadikan pengajaran buat kita untuk lebih berusaha meningkatkan kualiti bolasepak Malaysia supaya mampu bersaing di peringkat tertinggi. Harap-harap satu hari nanti kita boleh menyokong Malaysia di Piala Dunia.

Baca Juga:Titik Kebangkitan Bola Sepak Asia Tenggara ?

Baca juga mengenai Vietnam U23 di sini

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *