Aaron Niguez Sah Menyertai Johor Darul Ta’zim

Juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’zim semakin giat membuat persiapan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2019 apabila mereka membawa masuk pemain import kedua bagi memperkuatkan pasukan. Pemain import yang dimaksudkan ialah Aaron Niguez.

Perkara ini diumumkan oleh laman media sosial rasmi pasukan, Johor Southern Tigers. Abang kepada pemain tengah Atletico Madrid, Saul Niguez ini merupakan produk daripada akademi Valencia.

Sepanjang karier profesional Aaron, beliau telah mewakili sebanyak 10 pasukan. Setelah dinaikkan pangkat untuk menyertai pasukan senior Valencia, Aaron kemudiannya dihantar keluar untuk menyertai beberapa pasukan secara pinjaman antaranya Xerez, Iraklis, Rangers, Celta Vigo dan Recreativo Huelva.

Pada 2011, Aaron menyertai Almeria dimana beliau beraksi selama dua musim. Setelah bersama Almeria, Aaron menyertai pasukan Elche dan beraksi selama dua musim, Braga, Tenerife dan kelab terakhir beliau sebelum menyertai JDT ialah Real Oviedo.

Pencapaian Aaron setakat ini ialah beliau pernah memenangi Taca de Portugal bersama Braga pada musim 2015/2016. Aaron tidak pernah membuat penampilan bersama pasukan senior Sepanyol namun beliau pernah memenangi beberapa kejuaraan bersama pasukan bawah 19 tahun.

Menurut Johor Southern Tigers, Aaron Niguez mampu untuk beraksi sebagai False 9, pemain tengah menyerang dan beliau juga mampu beraksi sebagai pemain sayap. Aaron dilihat bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Fernando Elizari.

Pemain berusia 29 tahun ini menjadi pemain import kedua yang menyertai Johor Darul Ta’zim setelah Mauricio Dos Santos Nascimento menjadi pemain pertama yang ditandatangani oleh JDT.

Pembelian pemain nampaknya belum selesai bagi JDT kerana mereka bakal beraksi dalam saingan Asia Champions League (ACL) musim hadapan dan mereka sudah pasti mahu membawa masuk pemainyang mempunyai kualiti tinggi untuk memperkuatkan pasukan.

Baca Juga: Mauricio Dos Santos Nascimento Ganti Marcos Antonio

Leave a comment

Your email address will not be published.