Abah Pertahan Gaji Yang Diterima Oleh Teong Kim
- Harimau Malaya
- Oct 1, 2018
- No comment
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mempertahankan jumlah gaji yang diterima oleh Lim Teong Kim ketika mengendalikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Menurut KJ, jumlah tersebut wajar diberikan kepada Teong Kim kerana reputasi beliau yang tinggi dimana Teong Kim berjaya membentuk dua pemain berkelas dunia ketika ini iaitu Thoma Muller dan Toni Kroos.
“Jumlah itu adalah berdasarkan tawaran yang diputuskan ketika membawa Teong Kim balik ke negara kita untuk mengemudi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
“Terserah kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sama ada meneruskan kontrak beliau atau sebaliknya,” katanya kepada NSTP.
Khairy berkata, ketika itu beliau bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengkaji soal gaji berkenaan sebagai pelaburan jangka panjang.
Setelah kegagalan skuad bawah 16 tahun negara dalam temasya AFC Bawah 16 Tahun, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq mendedahkan jumlah gaji yang diterima oleh Teong Kim dan mahu mengkaji semula jumlah tersebut.
Dalam masa yang sama, bekas pemain negara, Shebby Singh turut mempertahankan gaji yang diterima oleh Teong Kim dengan berkata gaji besar tersebut merupakan rezeki LTK.
“Kalau sesiapa dapat gaji lumayan, itu rezeki mereka. Benda ini bukan ada kena mengena dengan pencapaian, ia kerana tugasan (jawatan).
“Pada pendapat saya, siapa yang sanggup bayar dialah yang harus dipersoal mengenai adakah gaji itu setimpal dengan jawatan, pengalaman dan kedudukan.
“Jadi, tak boleh nak salahkan (Teong Kim) kalau orang bagi gaji macam itu dan saya tak anggap ia sebagai satu isu,” katanya kepada Berita Harian.
Shebby turut menyelar pihak yang mengecam para pemain skuad bawah 16 tahun negara susulan tidak mencapai sasaran ke Piala Dunia B-17 di Peru, tahun depan.
“Saya hairan kenapa budak (pemain) bawah 16 tahun ini dilabel gagal sedangkan Nelo Vingada bawa Malaysia satu tahun tapi tak menang satu perlawanan pun orang masih kata perlu bagi dia masa.
“Pada peringkat tertinggi mana ada bagi masa, tapi tetap ada pihak yang menyokong Vingada. Kasihan budak ini kena belasah (kecam) kiri kanan belakang depan.
“Mana ada gagal, ini satu langkah ke depan. Jadi jangan anggap sebagai kegagalan besar buat budak muda ini kerana tak capai sasaran (ke Piala Dunia B-17),” tambah Shebby.
Baca Juga: Syed Saddiq Cari Penaja Baru