Abdul Karim Khan Buat Laporan Polis

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan pihaknya menyeleweng wang gaji pemain Northern Lion 2 seperti yang dinyatakan oleh bekas pemain pasukan itu.

Tindakan itu dibuat Mohd Abdul Karim Khan selepas 18 pemain pasukan PNL 2 yang diketuai bekas kaptennya, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman membuat laporan polis ke atas pengurusan PFA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada Isnin lalu.

Laporan yang dibuat oleh bekas pemain PNL 2 membabitkan bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dan Abdul Karim atas dakwaan mereka berdua melakukan penipuan kontrak dan penyelewengan gaji pemain.

Abdul Karim kemudiannya membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh bekas pemain PNL 2 itu. Jelasnya, laporan polis yang dibuat bagi menjaga imej beliau dan juga PFA terutamanya.

“Saya ke Balai Polis Travers ini untuk membuat laporan polis berkenaan laporan (polis) daripada pemain PNL2 yang dilakukan di Kangar mengenai penyelewengan duit RM11,000.

“Laporan polis ini sebagai penafian atas pertuduhan kepada saya dan kami serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan selanjutnya. Saya akan bersedia bekerjasama dan (akan) menyerahkan bukti berkaitan kerana urusan kewangan diuruskan bendahari PFA sendiri.

“(Laporan polis) ini adalah untuk menafikan apa-apa pertuduhan kepada saya dan demi menjaga imej termasuk imej Persatuan Bola Sepak Perlis sendiri,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Setelah gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain dan juga pemain yang beraksi bersama pasukan musim ini, penyertaan pasukan Perlis dalam saingan Liga Perdana dibatalkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Walaupun digugurkan daripada saingan Liga Perdana musim ini, namun pemain masih lagi menagih janji yang telah ditabur oleh PFA dengan menuntut tunggakan gaji mereka.

Untuk makluman, pemain bagi skuad musim 2019 masih belum menerima satu sen gaji sejak menyertai pasukan sebelum Liga Malaysia 2019 membuka tirainya.

Baca Juga: PFA Hantar Rayuan Kepada MFL

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *