Ada Tangan Ghaib Kacau Fajr Ibrahim ?

Isu peletakkan jawatan Fajr Ibrahim sebagai ketua jurulatih Kelantan masih lagi menjadi bualan peminat bola sepak negara ketika ini. Ada segelintir peminat yang mempersoalkan keputusan Fajr kerana beliau telah melepaskan beberapa pemain senior pasukan. Di sini, penulis ada pertanyaan. Adakah tindakan Fajr ini disebabkan ada tangan ghaib yang menggangu beliau untuk menguruskan pasukan ?

Isu tangan ghaib ini bukanlah satu isu yang baru dalam pasukan Kelantan. Ketika Azraai Khor mengendali pasukan pada 2015, beliau tidak dapat bertahan lama bersama pasukan kerana ada tangan ghaib yang mengganggu beliau untuk mencorakkan percaturan ke atas pasukan.

Menurut laporan Realmerah.com, sebab utama mengapa Fajr Ibrahim meletak jawatan ialah pengurusan pasukan yang sangat teruk dan tidak mahu memberikan sokongan yang penuh terhadap pasukan. Tambah Fajr, hanya presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan saja yang memberikan sepenuh sokongan dan kepercayaan beliau terhadap pembangunan pasukan.

Fajr juga menyatakan bahawa setiap kali hari perlawanan, beliau akan berdepan dengan masalah dengan pihak pengurusan. Dalam erti kata lain, mungkin pihak pengurusan campur tangan dalam pemilihan pemain yang akan diturunkan dan juga corak permainan dalam kesebelasan utama.

Jika benar perkara ini berlaku, maka masalah sebenar pasukan Kelantan selama ini terletak dalam pengurusan pasukan itu sendiri. Bukan di tangan jurulatih atau presiden persatuan. Perkara seperti ini juga merugikan pasukan dan juga barisan pemain itu sendiri.

Walau apa pun, kita harus menunggu sehingga pengumuman dibuat oleh Bibi Ramjani mengenai hasrat Fajr Ibrahim yang mahu meletak jawatan. Khabarnya, dalam masa terdekat, Fajr mahu bertemu dengan Bibi bagi membincangkan masalah ini. Jika Fajr tetap dengan pendirian beliau untuk meletak jawatan, maka Yusri Che Lah akan diberi tugas untuk mengendalikan pasukan.

Akhir sekali, jika benar adanya tangan gaib yang menganggu perancangan jurulatih, maka sampai bila-bila pun pasukan Kelantan tidak akan maju. Perkara ini boleh memusnahkan pasukan secara perlahan-lahan.

Baca Juga: Guano Ni KAFA ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *