Ahmad Shahrul Azhar “Dibuang” Dari PAFA

Khabar kurang enak datang daripada pasukan Perak apabila Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menamatkan kontrak legenda pasukan, Ahmad Shahrul Azhar sebagai pengurus pasukan berkuatkuasa hari ini. Penamatan kontrak Shahrul Azhar ini disahkan oleh Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Tempat Shahrul Azhar akan diambil alih oleh Timbalan Presiden PAFA, Datuk Adly Shah Ahmad Tah dan beliau akan memulakan tugas pada hujung minggu ini dimana sepak mula Piala Malaysia 2018 dimulakan.

Menurut Hasnul, penamatan kontrak Shahrul Azhar bukan bermotifkan politik, tetapi sebaliknya disebabkan bekas pemain kebangsaan dan juga Perak itu tidak mampu memberi sepenuh komitmen kepada pasukan.

“Perkara ini merupakan lumrah dalam mana-mana persatuan bola sepak. Saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan keputusan yang diambil dan jawatankuasa PAFA tidak akan merosakkan persatuan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, Hasnul menyatakan bahawa khidmat Shahrul Azhar selaku pengurus pasukan dikekalkan walaupun kontrak selaku setiausaha kehormat PAFA tidak disambung. Tambah Hasnul lagi, penamatan kontrak Shahrul tidak akan menjejaskan fokus pasukan yang akan memulakan kempen Piala Malaysia pada hujung minggu ini.

Walaupun presiden PAFA menyatakan penamatan Shahrul Azhar tidak bermotifkan politik, namun peminat setia pasukan Perak perkara tersebut sememangnya bermotifkan politik dan rata-rata daripada mereka kurang senang dengan keputusan yang diambil oleh Hasnul.

Peminat berpendapat Hasnul seharusnya memikirkan terlebih dahulu tindakan yang mahu diambil dan tidak membuat keputusan melulu.

Malah, ada sesetengah peminat di media sosial mahu memboikot PAFA kerana mereka tidak berpuas hati dengan penamatan kontrak Ahmad Shahrul Azhar. Menurut mereka, daripada membuang Shahrul, lebih baik PAFA membuang ketua jurulatih, Mehmet Durakovic.

Walau apa pun, peminat nyata kecewa dengan keputusan yang diambil oleh PAFA kerana pemain legenda seperti Shahrul Azhar ditamatkan kontrak secara mengejut. Mereka menganggap Shahrul wajar untuk dihormati kerana jasa beliau kepada pasukan Perak begitu besar.

Apa pendapat anda mengenai penamatan kontrak Ahmad Shahrul Azhar sebagai pengurus pasukan Perak ?Adakah keputusan menamatkan kontrak beliau bermotifkan politik ?

Baca Juga: Banyak Yang Perlu Diperbaiki Oleh Pasukan Perak

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *