Aidil Shahrin Diburu Dua Pasukan Liga Malaysia
- Liga Super
- Oct 5, 2018
- No comment
Ketua jurulatih Home United, Aidil Shahrin Sahak diburu oleh dua pasukan dari saingan Liga Malaysia.
Menurut laporan Goal.com, naib juara Piala Malaysia 2017 iaitu pasukan Kedah berminat untuk mengambil khidmat Aidil bagi mengendalikan pasukan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.
Satu sumber memberitahu Goal.com bahawa ketua jurulatih yang membimbing Home United muncul sebagai juara AFC Cup Zon Asean 2018 dengan menewaskan pasukan Ceres Negros di perlawanan akhir ini sedang mengadakan perbincangan mengenai kontrak bersama pasukan Kedah.
Kedah nampaknya mahu memulakan persiapan bagi menghadapi saingan musim hadapan dengan kadar yang segera selepas mereka menampilkan prestasi yang kurang memberangsangkan. Prestasi Kedah dalam saingan Liga Malaysia musim ini dianggap sedikit mengecewakan dimana mereka gagal untuk memenangi sebarang kejuaraan.
Satu lagi pasukan Liga Malaysia yang berminat dengan khidmat Aidil ialah pasukan Perak. The Boss Gaurus dilihat mahu menyiapkan pengganti kepada jurulatih sedia ada, Mehmet Durakovic jika bekas pemain Selangor ini meninggalkan Perak dan kembali mengendalikan pasukan Selangor seperti yang diperkatakan sebelum ini.
Nama Aidil Shahrin menjadi sebutan peminat bola sepak di Asia Tenggara setelah beliau berjaya membimbing pasukan Home United beraksi cemerlang dalam saingan Piala AFC 2018.
Home United berjaya muncul juara Zon Asean dan mereka layak untuk beraksi dalam peringkat Inter-zoned play-off namun tewas kepada kelab Korea Utara, April 24 SC dengan keputusan agregat 11-1.
Selain Kedah dan Perak, ada beberapa pasukan lain daripada Liga sekitar Asia Tenggara yang mahukan khidmat Aidil. Antara pasukan yang berminat ialah kelab Filipina, Ceres Negros, kelab dari Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta dan Port FC yang ketika ini beraksi dalam saingan Thai League 1.
Apa yang pasti, jika Aidil datang ke Liga Malaysia, maka ianya akan menjadi satu cabaran yang tersendiri untuk beliau kerana menguruskan pasukan dalam Liga Malaysia jauh berbeza dengan pasukan Liga Singapura.
Tekanan daripada penyokong dan juga pihak pengurusan adalah cabaran terbesar yang bakal dihadapi oleh Aidil.
Baca Juga: Kedah Perlukan Penilai Pemain Import