Aidil Zafuan Sukar Terima Kekalahan

Pemain pertahanan pasukan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak mengakui bahawa beliau sukar untuk menerima kekalahan pasukan negara di tangan pasukan Vietnam. Pada perlawanan Jumaat lalu, Malaysia tunduk kepada The Golden Dragon dengan keputusan 2-0.

Menurut Aidil, beliau sukar menerima kekalahan disebabkan Malaysia sepatutnya memenangi perlawanan tersebut kerana menguasai permainan meskipun beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah.

“Dari segi positif dalam perlawanan itu kita berjaya menguasai bola, namun negatifnya kita gagal menjaringkan gol.

“Saya tidak salahkan sesiapa, jika kalah bermakna semua pemain gagal bermain dengan baik,”

“Tentunya, kita akan memperbaiki corak permainan untuk memastikan kemaraan pasukan negara dalam perlawanan sete­rusnya,” katanya menurut laporan Utusan.

Setelah tewas kepada Vietnam, tiada jalan lain untuk skuad Harimau Malaya selain menang besar ke atas pasukan Myanmar pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November nanti.

Aidil menambah beliau dan rakan-rakan sepasukan akan kembali menjalani latihan dan memperbaiki segala kelemahan yang ketara ketika perlawanan terakhir.

“Kami akan kembali menjalani latihan Isnin ini, dan segala kelemahan pada perlawanan dengan Vietnam harus diperbaiki segera dan saya menjangkakan Myanmar akan bermain corak permainan yang sama.

“Apa sekali pun, kita perlu menang dan untuk lebih selesa kita perlu menang dengan jumlah jaringan besar iaitu 3 atau 4 gol, jika mahu layak ke peringkat separuh akhir,” tambah pemain Johor Darul Ta’zim itu.

Malaysia kini menghuni tangga ketiga dalam kumpulan A dibelakang pasukan Myanmar yang menghuni tangga teratas dan Vietnam menghuni tangga kedua.

Kemenangan dengan jaringan besar ke atas Myanmar akan mengesahkan slot ke separuh akhir buat pasukan negara.

Baca Juga: Matyo Mahu Jumpa Vietnam Di Pentas Akhir

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *