Akhyar Rashid Mahu Beraksi Menentang Thailand

Pemain muda negara, Akhyar Rashid mahu beraksi menentang Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Rajamangala esok.

Pemain berusia 19 tahun ini hanya menyaksikan rakan-rakan sepasukan berjuang daripada bangku simpanan pada perlawanan separuh akhir pertama Sabtu lalu dan perkara itu yang membuatkan beliau mahu beraksi menentang skuad Gajah Perang itu.

“Kalau ikutkan memang ge­ram (hanya dapat tengok rakan beraksi) Sabtu lalu tetapi sebagai pemain kami kena mengikut taktikal jurulatih kerana dia tahu apa yang terbaik untuk pasukan.

“Harap dalam aksi timbal balik nanti saya dapat diturunkan menggantikan Sumareh (jika dia tidak beraksi) dan mahu membuktikan kemampuan kepada jurulatih.

“Walaupun bermain di depan penyokong lawan, saya akan gunakan pengalaman yang ada untuk menghadapi Thailand,” katanya menurut laporan Utusan.

Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan pada perlawanan kedua disebabkan kecederaan hamstring yang dialami oleh beliau. Sumareh terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua dan digantikan dengan Hazwan Bakri.

Semalam, ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe menyatakan jika Sumareh tidak sempat pulih daripada kecederaan yang dialami, maka bekas pengendali Kedah ini akan menurunkan Akhyar Rashid dalam kesebelasan utama.

Menurut Akhyar, ketika beliau berada di bangku simpanan, beliau memerhatikan corak permainan yang digunakan oleh pasukan Thailand.

“Sewaktu berada di luar padang saya melihat Thailand akan melakukan serangan balas jika kita buat silap. Tidak mustahil kita boleh mencari kemena­ngan. Apa yang penting kita perlu buat yang terbaik,” tambahnya.

Selain Sumareh, nasib Syazwan Andik Ishak juga masih belum jelas sama ada beliau sempat pulih untuk diturunkan pada perlawanan esok. Jika tidak mengizinkan, maka Cheng Hoe bakal menurunkan pemenang Piala Malaysia 2018, Nazirul Naim.

Apa yang pasti, jika diturunkan dalam kesebelasan utama, diharapkan Akhyar dapat menggunakan kelincahan serta kemampuan beliau untuk mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Thailand sekaligus membantu jentera serangan.

Malaysia hanya perlu mencatat keputusan seri 1-1 untuk melangkah ke perlawanan akhir saingan edisi kali ini.

Baca Juga: Safawi Tetap Fokus Walau Dikritik

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *