Akram Mahinan Sertai PKNS FC
- Liga Super
- Dec 7, 2018
- No comment
Pemain tengah skuad kebangsaan yang sedang meningkat naik ketika ini, Akram Mahinan sah pasukan PKNS FC bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Perpindahan Akram ini diumumkan oleh PKNS FC di laman media sosial rasmi mereka sebentar tadi.
AKRAM KINI SEMUT MERAH
PKNS FC mengucapkan selamat datang ke Koloni Semut Merah buat pemain tengah skuad kebangsaan, Muhammad Akram Mahinan.
Kami percaya kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh Akram mampu membawa PKNS FC ke tahap yang lebih tinggi. pic.twitter.com/tDV1Xro6ck
— PKNS FC (@ThePKNSFC) December 7, 2018
Akram menampilkan aksi yang bertenaga bersama pasukan negara dalam saingan Piala AFF Suzuki edisi kali ini. Kecemerlangan Akram di bahagian tengah bersama Syamer Kutty Abba memainkan peranan penting dalam perjalanan pasukan negara menuju ke perlawanan akhir.
Nama Akram Mahinan mula menjadi perhatian apabila beliau beraksi bersama pasukan Johor Darul Ta’zim II pada 2014. Aksi cemerlang Akram kemudiannya menarik perhatian ketua jurulatih skuad kebangsaan ketika itu, Dollah Salleh untuk memanggil beliau mewakili pasukan negara.
Setelah dua musim bersama JDT, Akram akhirnya mengambil keputusan untuk menyertai pasukan Kedah pada 2017.
Ketika beraksi bersama pasukan Kedah, Akram berjaya memenangi beberapa kejuaraan utama yang dipertandingkan dalam saingan Liga Malaysia antaranya trofi Piala FA pada 2017 dan Piala Sumbangsih.
Selain membawa masuk Akram, PKNS FC juga berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang import MISC-Mifa, Kpah Sherman dan enam lagi pemain tempatan. Sherman dijangka bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Rafael Ramazotti yang tidak dilanjutkan kontrak.
Enam pemain tempatan yang dimaksudkan ialah:
1. Nicholas Ryan Swirad (Pertahanan Tengah / Melaka United) – 27 Tahun
2. Tommy Mawat Bada (Pemain Sayap / PJ Rangers) – 23 Tahun
3. Muhammad Ariff Farhan Bin Md Isa (Pemain Tengah / Kedah) – 22 Tahun
4. Shafiq bin Shaharudin (Penyerang / Kelantan) – 24 Tahun
5. Mohamad Fandi bin Othman (Pertahanan Kiri / Felcra FC) – 26 Tahun
6. Mohd Farhan bin Abu Bakar (Penjaga Gol / Kedah) – 25 Tahun
Sumber Gambar: PKNS FC
Jika dilihat dari senarai pemain yang dibawa masuk, pasukan PKNS FC dijangka bakal menjadi pasukan yang mampu untuk mencabar kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Baca Juga: Selangor Umumkan Kerjasama Bersama Joma