Ambil Masa Jika Mahu Buat Perubahan
- Liga Perdana, Liga Super
- Jan 30, 2018
- No comment
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar baru-baru ini telah menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengkaji semula format pertandingan Liga Malaysia kerana pertandingan ketika ini dipenuhi dengan pasukan negeri. Beliau turut mencadangkan agar pasukan negeri hanya memfokuskan kepada pembangunan sukan menakala kelab menyertai pertandingan. Bagi kami, jika kita mahukan perubahan seperti itu, ianya akan ambil masa yang lama. Kenapa ? Di sini kami akan terangkan.
Lihat kenyataan penuh kenyataan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar di sini
1. Sentimen
Bola sepak Malaysia sudah diwarnai dengan pasukan negeri sejak sekian lama. Kebanyakkan peminat bola sepak negara mempunyai sentimen yang lebih kuat terhadap pasukan negeri mereka. Kita juga melihat beberapa kelab yang sedia ada sekarang ini tidak mempunyai “fan base” yang besar. Mereka lebih cenderung untuk menyokong pasukan negeri berbanding pasukan kelab yang terdapat di negeri mereka.
2. Kesukaran Kelab Untuk Menarik Peminat
Berapa banyak kelab yang ditubuhkan dalam saingan Liga Malaysia kemudiannya bungkus sekaligus terkubur. Antara sebab utama kenapa mereka tidak mampu untuk wujud dengan lebih lama adalah kegagalan mereka untuk menarik peminat untuk menyokong mereka. Penyokong yang akan datang ke stadium dan membeli barangan rasmi pasukan. Jika tiada penyokong, siapa yang nak beli tiket dan jersi kelab anda ? Jika aspek ini boleh diperbaiki, kami yakin kelab mampu untuk wujud lebih lama dalam saingan Liga Malaysia.
3. Kewangan
Selain faktor kegagalan menarik peminat, kebanyakkan kelab terpaksa dibubarkan kerana tidak mempunyai kewangan yang kukuh. Mereka hanya kukuh pada tahun pertama dan kedua saja. Memasuki tahun ketiga, mereka terpaksa membubarkan kelab kerana tidak mempunyai dana untuk membayar gaji pemain dan juga menguruskan pasukan.
Itulah 3 faktor yang harus diperbaiki jika kita mahu format Liga Malaysia ditukar kepada pasukan kelab dan bukannya pasukan negeri. Buat masa sekarang, Liga kita masih lagi diwarnai oleh pasukan negeri dan kami berpendapat perkara ini akan berkekalan bagi satu tempoh yang agak lama. Sudah tentu kami mahukan perubahan ini. Tetapi bukan dalam jangka masa terdekat.
Apa pendapat anda mengenai cadangan perubahan format Liga Malaysia ? Adakah ia boleh dilakukan ? Atau sebenarnya pasukan negeri masih lagi relevan ? Mari kongsikan pendapat anda.
Baca Juga: iFlix Penyiar Rasmi Liga Malaysia 2018