Antara Perlis Dan Rudie Ramli: 5 Sebab Anda Harus Mengikuti Piala FAM Tahun Ini

Piala FAM merupakan liga ketiga di Malaysia selepas Liga Super dan Liga Perdana. Tirai Piala FAM musim ini bakal dibuka pada 25 Februari ini dengan penyertaan 14 buah pasukan dari seluruh negara bagi merebut 2 slot ke Liga Perdana 2019. Format kali ini bakal menyaksikan liga dua kumpulan dengan dua tempat teratas bersaing di dalam pusingan separuh akhir sebelum pusingan akhir dilangsungkan bagi menentukan juara musim ini. Apakah tarikan Piala FAM yang mungkin dapat menarik anda hadir ke stadium? Berikut saya senaraikan:

1. Perlis
Tidak selalu kita dapat lihat pasukan negeri beraksi di pentas divisyen tiga, apatah lagi pasukan yang pernah memenangi Piala Malaysia sebanyak dua kali seperti Perlis. Berbeza daripada zaman emas mereka sekitar pertengahan 2000an di mana mereka dibarisi pemain hebat seperti Phillimon Chepita, Zacharia Simukonda dan Yusri Che Lah, am mengetahui pengurusan Singa Utara kini mengikat perut dalam memastikan kelangsungan pasukan. Namun demikian, ini tidak bermakna mereka tidak bercita-cita besar. Maruah pasukan berstatus negeri bakal menyaksikan mereka dilabel sebagai pasukan pilihan di dalam Kumpulan B walaupun hanya dibarisi ramai bekas pemain skuad Piala Presiden. Di bawah kendalian Manja Man yang dikenali sebagai jurulatih yang cemerlang dalam membangunkan pemain muda, peminat jati Indera Kayangan seharusnya yakin dengan kemampuan skuad ini dan bersedia memasukkan lawatan malam ke Stadium Tuanku Syed Putra sebagai itenerari mingguan anda.

2. Hashim Mustapha, Ahmad Yusof & Co
Selain daripada Manja Man, turut menduduki kerusi kejurulatihan pasukan-pasukan Piala FAM kali ini adalah lagenda-lagenda bola sepak era 80an. Nama-nama besar seperti Hashim Mustapha, Ahmad Yusof dan Razip Ismail mungkin dapat menjadi tarikan kepada para peminat bola sepak yang ingin melihat sendiri kebolehan mereka sebagai jurulatih. Turut bakal mewarnai kempen kali ini bagi memberi saingan kepada mereka ialah Hassan Sazali Waras, bekas pengendali Skuad Harimau Muda C dan bekas penolong jurulatih kebangsaan yang kini mengendalikan Skuad Petaling Jaya Rangers.

3. Renjer Petaling Jaya
Pasukan PJ Rangers ini adalah pasukan yang dinaungi oleh pengurusan yang berpengalaman dalam bidang bola sepak professional. Siapa tidak kenal dengan individu hebat bernama Tan Sri Anthony Francis Fernandes, Ketua Eksekutif kumpulan Air Asia yang juga pemilik pasukan Queens Park Rangers FC? Renjer (panggilan mudah bagi membezakan mereka dengan QPR) ini dilihat mengambil pendekatan yang professional di dalam pembangunan kelab secara keseluruhan dari segi pengurusan dan pembangunan fasiliti hinggalah kepada penglibatan masyarakat setempat. Oleh yang demikian, warga Petaling Jaya seharusnya berasa bertuah kerana kehadiran pasukan ini yang mungkin boleh menjadi model pengurusan contoh di dalam sukan bola sepak dan pasukan ini wajar diberikan sambutan hangat dengan kehadiran anda ke Stadium MBPJ Kelana Jaya.

4. Stadium INSPEN
Selain daripada Stadium MBPJ, turut sama menjadi venue pasukan bertanding kali ini ialah beberapa stadium mini yang menarik seperti Stadium UM Arena, Stadium Mini Temerloh dan Stadium Mini Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM. Walaupun demikian, untuk feel yang padu, silalah ke Stadium INSPEN di Persiaran INSPEN, Bangi yang menjadi gelanggang kepada MOF FC. Stadium ini terletak di dalam kompleks bangunan INSPEN dengan parkir yang selesa. Walaupun hanya boleh memuatkan 750 penonton, para penyokong akan seronok disebabkan suasana stadium yang santai dengan lokasinya yang strategik di antara Putrajaya, Sepang dan Kajang. Masuk adalah percuma. Sebelum dan sesudah perlawanan pula, terdapat banyak warung makan yang sedap menyajikan aneka masakan seperti Char Kuay Teow Sany, Sofina Seafood dan Gate One Western Kitchen. Jika bukan disebabkan MOF FC dan kapten mereka Rudie Ramli, pastinya peluang makan malam di luar boleh dijadikan tarikan anda mengikuti Piala FAM musim ini! Oh, kebetulan pula MOF FC akan berdepan pasukan Selangor dalam pusingan kedua Piala FA di laman sendiri nanti.

5. Rudie Ramli
Kapten pasukan MOF FC kini berada di penghujung karier beliau setelah enam belas tahun berkhidmat. Memulakan kariernya di Jerman bersama SV Wehen, Rudie kemudian pulang ke Selangor sebelum berkelana dan tidak lama menyertai sesuatu pasukan, antaranya ke PKNS, TM Melaka, Perlis, Felda, ATM dan Negeri Sembilan. Pada yang rindukan kelibat Rudie, mungkin inilah masanya untuk anda ke stadium. Tambah menarik, kedua-dua bekas pasukan Rudie iaitu ATM dan Perlis turut menyertai kempen Piala FAM kali ini meskipun hanya ATM diundi bersama MOF FC di dalam Kumpulan A.

Selain 5 sebab yang di atas, mungkin anda punya alasan tersendiri untuk hadir ke stadium dan menyokong pasukan-pasukan yang bertanding dalam saingan Piala FAM. Sambutan yang baik pada peringkat liga bawahan adalah diperlukan bagi memberi sokongan kepada pembangunan bola sepak negara pada peringkat akar umbi. Semoga kita dapat meluangkan sedikit masa dan hadir beramai-ramai demi kelangsungan pembangunan bola sepak tanah air.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Hassan Anas. Selain memiliki kelulusan Sarjana daripada UPM, saudara Hassan Anas turut mempunyai pertauliahan bola sepak FAM sejak tahun 2011 dengan fokus kepada pembangunan bola sepak akar umbi pada peringkat sekolah dan universiti selain cenderung di dalam bidang pentadbiran am bola sepak.

Baca Juga: Bukan Liga Persaraan, Cuma Tidak Yakin Pada Yang Muda

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *