Apa Pilihan Yang Ada Buat Tan Cheng Hoe ?
- Harimau Malaya
- Nov 15, 2018
- No comment
Pasukan negara giat membuat persiapan rapi menjelang perlawanan penting menentang pasukan Vietnam di gelanggang lawan pada esok. Di sini, penulis melihat ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe mempunyai beberapa pilihan untuk memastikan keputusan positif berjaya dibawa pulang.
Pilihan pertama ialah beliau mengekalkan kesebelasan utama ketika pasukan negara menewaskan Laos dengan keputusan 3-1 pada Isnin lalu. Cheng Hoe menurunkan 5 pemain serangan dan hanya menurunkan pemain tengah tunggal, Akram Mahinan untuk mengawal bahagian tengah pasukan.
Akram menampilkan persembahan yang cemerlang dimana beliau seringkali mematahkan gerakan serangan pasukan Laos. Namun, penulis berpendapat agak berisiko untuk pasukan negara jika turun dengan menggunakan gaya permainan yang sama apabila menentang pasukan seperti Vietnam yang mempunyai jentera serangan tajam.
Pilihan yang kedua ialah Tan Cheng Hoe kembali menurunkan Syamer Kutty Abba di bahagian tengah untuk digandingkan dengan Akram Mahinan. Syamer dan Akram diturunkan ketika Malaysia menewaskan pasukan Kemboja pada perlawanan pertama.
Kedua-dua pemain ini menampilkan aksi yang baik dimana mereka saling berganding bahu dalam memastikan barisan serangan Kemboja yang dikeuai Chan Vathanaka tidak memasuki benteng pertahanan pasukan negara.
Penulis melihat pilihan kedua adalah satu pilihan yang lebih ideal memandangkan barisan serangan Vietnam sangat berbahaya dan pemain di bahagian tengah pasukan negara perlu bekerja keras dalam menghentikan segala gerakan serangan pasukan lawan.
Berdasarkan persembahan yang ditampilkan Syamer dan Akram pada perlawanan pertama, tidak mustahil keduanya mampu untuk mengulangi prestasi sama sekaligus membuatkan Vietnam berputih mata di laman sendiri.
Apa yang pasti, siapa saja yang diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan esok harus beraksi di tahap maksimum bagi membolehkan Harimau Malaya membawa pulang keputusan positif dan mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir sebagai juara kumpulan.
Pasukan Vietnam bakal turun dengan tujuan sama dan mereka juga tidak mahu memberikan laluan mudah kepada Norshahrul Idlan Talaha dan rakan-rakan untuk memperoleh keputusan yang diingini.
Baca Juga: Kecergasan Sumareh Menjadi Tanda Tanya