Ashari Samsudin Mahu Tebus Luka Lama

Penyerang Terengganu FC, Ashari Samsudin mahu menebus luka lama pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menentang Perak dimana Terengganu tewas kepada pasukan Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2011.

Penjaring terbanyak Liga Super musim 2011 dengan 18 gol ini berhasrat untuk menamatkan karier bola sepak beliau dengan menenangi piala berprestij itu.

“Ini peluang terbaik buat saya dan rakan sepasukan untuk memahat sejarah sesudah gagal muncul juara pada 2011 selepas tumpas 1-2 kepada Negeri Sembilan.

“Saya masih ingat ketika final pada 29 Oktober 2011 di Stadium Shah Alam, saya meledak gol pendahuluan pada minit ke-59, namun impian kami berkecai apabila lawan bangkit pada 10 minit terakhir hasil jaringan S Kunanlan dan Hairuddin Omar.

“Saya berdoa sambil berharap episod duka itu tidak berulang lagi kerana perjalanan untuk mara hingga ke tahap ini begitu sukar dan berliku,” kata Ashari kepada Berita Harian.

Pada perlawanan akhir edisi 2011 lalu, Ashari Samsudin berjaya meletakkan Terengganu dihadapan sebelum S.Kunanlan dan Hairuddin Omar menjaringkan dua gol pada 10 minit terakhir perlawanan bagi menghancurkan impian Terengganu untuk mendakap piala.

Pada separuh akhir kedua menentang Johor Darul Ta’zim minggu lalu, pemain berusia 33 tahun itu berjaya melakukan hantaran tepat dan kepada Kipre Tchetche sebelum pemain dari Ivory Coast itu menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat kedudukan 2-2 sekaligus memastikan kemaraan.

“Jika ditanya perasaan ketika ini saya begitu teruja dan tidak sabar untuk turun beraksi bagi menebus kehampaan tujuh tahun lalu.

“Bagaimanapun saya harap menjelang pertemuan itu nanti, saya bebas daripada sebarang kecederaan, begitu juga rakan sepasukan kerana sedar peluang untuk beraksi hanya tinggal mimpi jika cedera.”

“Pesanan saya kepada diri dan rakan sepasukan supaya tidak terlalu yakin sebaliknya perlu memperkemaskan diri kerana lawan mempunyai kekuatan tersendiri biarpun rekod kedua-dua pasukan musim ini seimbang,” katanya.

Kali terakhir Terengganu FC memenangi Piala Malaysia ialah pada edisi 2001 dimana ketika itu mereka turut menewaskan lawan yang sama pada perlawanan akhir edisi kali ini iaitu pasukan Perak.

Manakala pasukan Perak pula kali terakhir mereka mendakap Piala Malaysia ialah pada edisi 2000 dengan menewaskan pasukan Negeri Sembilan.

Baca Juga: 10 Tiket Perlawanan Akhir Akan Diberikan PAFA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *