B.Sathianathan Cari Formula Terbaik

Ketua jurulatih Felda United, B.Sathianathan sedang mencari formula terbaik bagi menghadapi Terengganu FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2018 hari ini.

Felda tewas dengan keputusan 1-2 pada perlawanan suku akhir pertama di Jengka dan mereka berdepan misi sukar untuk mengatasi dua gol di tempat lawan yang dimiliki oleh Terengganu. Lebih-lebih lagi apabila penyerang utama, Thiago Augusto Fernandez berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan kerana masih lagi mengalami kecederaan.

Selain Thiago, Wan Zack Haikal dan Christie Jayaseelan juga tidak dapat diturunkan akibat daripada kecederaan lutut yang dialami oleh kedua-dua pemain.

“Bagi saya, Terengganu kini mempunyai modal besar kerana selain menang minggu lalu, mereka ada dua jaringan di tempat lawan.

“Untuk layak ke separuh akhir, FELDA perlu mengalahkan mereka sekurang-kurang 2-0 dan ini bukan tugas yang mudah kerana kami akan bermain di gelanggang mereka.

“Kami tidak mempunyai pilihan kecuali menyerang tapi apa yang bermain dalam fikiran saya, tanpa Thiago, siapa yang mampu jaringkan gol untuk kami?” kata Sathia kepada Berita Harian.

Ketiadaan Thiago bermakna Felda akan bersandar sepenuhnya kepada seorang lagi penyerang import, Gilberto Fortunato bagi memecahkan benteng pertahanan Terengganu sekaligus mencari jaringan. Namun, Sathia berpendapat Gilberto tidak setajam Thiago apabila berada di hadapan pintu gol.

“Gilberto pemain yang bagus dan rajin namun tidak memiliki ketajaman seperti Thiago bila berada di depan pintu gol lawan.

“Saya tidak mempunyai pilihan kecuali menurunkan Gilberto mengisi tempat Thiago. Iain Ramsay dan Syamim (Yahya) akan membantunya di barisan serangan selepas Wan Zack dan Christie turut cedera. Namun, pada masa sama, saya perlu mencari satu formula baru bagaimana mahu mengalahkan Terengganu.”

Apa yang pasti, Felda perlu mencari tiga jaringan malam ini bagi memadam kelebihan yang dimiliki oleh Terengganu FC. Jika mereka gagal berbuat demikian, maka peluang Felda United untuk mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia edisi 2018 boleh terkubur.

Baca Juga: Tiga Pasukan Mahukan Khidmat Akhyar Rashid

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *