Badhri Radzi Dalam Radar Felda United ?

Setelah khidmat beliau tidak diperlukan oleh pasukan Kelantan, masa depan bekas ketua pasukan mereka, Badhri Radzi masih lagi menjadi tanda tanya. Sama ada beliau mahu kekal bermain dalam saingan Liga Super ataupun mahu beraksi di saingan Liga Perdana. Baru-baru ini, Piya dikhabarkan berada dalam radar pasukan Felda United.

Felda United sedang berada dalam prestasi terbaik dalam saingan Liga Perdana ketika ini. Menghuni tangga teratas dengan kelebihan tujuh mata mengatasi Felcra FC yang berada di tangga kedua. Selain jurang mata yang besar, Felda juga masih lagi belum merasai sebarang kekalahan.

Ketika ini, Felda mempunyai campuran pemain tengah berpengalaman dan juga pemain muda. Nama-nama seperti Syamim Yahyah, Khairu Azrin, Stuart Wark, Current Ferns dan pemain import, Ian Ramsay menjadi pemain yang selalu tampil dalam kesebelasan utama. Di situ juga ada Danial Amier yang masih lagi belum tampil kerana mengalami kecederaan.

Jika Piya menyertai Felda, maka B.Sathianathan akan mempunyai banyak pilihan di bahagian tengah. Beliau tidak perlu risau sekiranya ada pemain yang mengalami kecederaan atau tidak beraksi dengan baik. Ada pemain yang serta-merta boleh mengambil tempat seseorang pemain itu.

Selain itu, dengan adanya Piya dalam pasukan Felda United, akan ada persaingan untuk beliau diturunkan dalam kesebelasan utama. Apatah lagi pasukan Felda dilihat beraksi sangat baik dengan barisan pemain tengah sedia ada.

Walau apa pun, kami berpendapat Badhri Radzi adalah satu penambahan yang baik untuk pasukan Felda United. Pengalaman luas yang dimiliki oleh Piya boleh dimanfaatkan Felda untuk terus menghuni tangga teratas saingan Liga Perdana musim ini seterusnya layak ke saingan Liga Super musim hadapan.

Apa pendapat anda mengenai bekas ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi yang dikhabarkan berada dalam radar pasukan Felda United ? Adakah Felda United pasukan yang sesuai buat Piya ? Atau Piya perlu mencari pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super sebagai destinasi yang seterusnya buat beliau ?

Baca Juga: Ubi Muda Kelantan Memang Menjadi

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *