Bagaimana Untuk Menjadi Pemain Bola Sepak Profesional

Setiap peminat bola sepak di seluruh pelusuk dunia sudah tentu mempunyai idola mereka tersendiri. Nama-nama seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Mesi dan juga Neymar sudah menjadi satu nama biasa kita dengar. Pencapaian mereka di dalam dan di luar padang nyata menjadi inspirasi kepada semua. Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana perjalanan mereka untuk menjadi pemain profesional seperti sekarang ? Dimana harus memulakan langkah pertama ? Liku-liku apa yang harus mereka lalui ? Di sini, panel Inikan Bola berkongsi kepada anda tentang bagaimana untuk menjadi pemain bola sepak profesional di Malaysia.

Ada beberapa cara yang boleh dimanfaatkan oleh seseorang itu untuk menjadi pemain bola sepak profesional di Malaysia. Antaranya ialah melalui saluran formal seperti bersekolah di sekolah sukan dan juga melalui biasiswa bola sepak. Seperti contoh, anda boleh memohon untuk bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Di sana, anda boleh mengikuti proses pemilihan pemain yang dijalankan oleh pihak sekolah. Jika menggunakan kaedah ini, terdapat beberapa kategori umur yang sesuai dengan umur anda ketika ini.

Seterusnya, anda boleh mengikuti sesi pemilihan yang dijalankan oleh beberapa persatuan yang membangunkan projek pembangunan akar umbi seperti Felda United , National Football Development Program (NFDP) dan juga Akademi Mokhtar Dahari (AMD). Anda mungkin akan menghabiskan masa beberapa tahun bersama persatuan di atas dan menunggu jika ada pasukan-pasukan profesional datang untuk menawarkan kontrak profesional kepada anda.

Selain itu, anda juga boleh mengikuti sesi pemilihan yang dijalankan oleh persatuan bola sepak negeri. Lazimnya, pemilihan ini akan dibuka sebelum musim baru bermla dan khusus kepada pasukan Piala Belia ataupun Piala Presiden sahaja. Anda boleh mencuba nasib dalam sesi pemilihan tersebut. Siapa tahu rezeki anda memang ada di sana. Akhir sekali, anda boleh membentuk satu pasukan bersama rakan-rakan anda dan menyertai Liga Sosial yang sedang meningkat naik ketika ini. Liga Sosial semakin mendapat perhatian setelah pasukan seperti Axis-O2 FC dan Southern FC berjaya mara ke pusingan kedua Piala FA edisi kali ini.

Haa itulah antara kaedah yang boleh diambil sekiranya anda mahu menjadi pemain profesional di Malaysia. Adakah dengan perkongsian kami ini, anda berminat untuk menjadi pemain profesional dan memeriahkan lagi bola sepak Malaysia ?

Baca Juga: Gandingan Terbaik Di bahagian Serangan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *