Banyak Yang Perlu Diperbaiki – Aidil Shahrin

Ketua jurulatih pasukan Kedah, Aidil Shahrin Sahak menegaskan masih banyak aspek yang perlu diperbaiki bagi memantapkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Aidil berkata demikian setelah Kedah muncul juara Unity Shield apabila Kedah menundukkan pasukan Perak dengan keputusan 2-0. Aidil turut memberikan pujian di atas semangat juang yang ditampiilkan anak-anak buahnya pada perlawanan semalam.

Menurut bekas pengendali Home United ini, puluhan ribu penyokong yang membanjiri Stadium Darul Aman sedikit-sebanyak membuatkan pemain Kedah berdepan dengan tekanan.

“Memang ada sedikit tekanan beraksi di hadapan penyokong sendiri yang memenuhi stadium, lebih-lebih lagi kepada pemain-pemain baharu kerana hanya tiga pemain utama Kedah pada musim lepas beraksi dalam perlawanan ini.

“Namun, kredit harus diberi kepada mereka yang kembali pada separuh masa kedua sebagai pasukan yang berbeza terutamanya selepas kemasukan Syahrul Azwari Ibrahim, memandangkan kami diberi tekanan yang hebat pada awal babak perlawanan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Pada perlawanan Unity Shield semalam, jaringan Fernando Rodriguez dan Syahrul Azwari pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memberikan trofi pertama bagi Aidil. Pengendali dari Singapura ini turut memuji benteng pertahanan yang berjaya mengekang segala asakan yang dilancarkan oleh barisan serangan Perak.

“Tahap kecergasan yang dipamerkan pemain setakat ini amat baik, namun masih banyak perkara yang boleh diperbaiki hasil perlawanan ini meskipun kami memenanginya.

“Apatah lagi perlu diingat, Perak salah satu pasukan yang hebat dan tidak menurunkan 100 peratus pemain utama mereka yang masih dibelenggu kecederaan,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Aidil menegaskan beliau mahu memberikan lebih peluang kepada pemain muda untuk tampil bersama pasukan utama bagi menonjolkan kemampuan mereka.

Antara pemain Kedah yang dinaikkan pangkat dengan beraksi bersama pasukan utama musim ini ialah Mohamad Fayyadh, Fazrul Danel, Hidhir Idris dan Zhafir Yusof. Keempat-empat pemain ini beraksi di bahagian sayap dan juga mampu beraksi di bahagian tengah.

Selepas ini, Kedah akan berangkat ke Thailand bagi meneruskan persiapan pasukan dengan menghadapi beberapa perlawanan pra musim.

Baca Juga: Barisan Serangan Kedah Harus Diberi Perhatian

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *