Barisan Pertahanan Perlu Diperbaiki

Pasukan kebangsaan berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat kedudukan kepada 2-2 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 menentang pasukan Vietnam semalam. Barisan pertahanan negara dilihat perlu diperbaiki menjelang perlawanan kedua.

Pada perlawanan semalam, Cheng Hoe harus membuat rombaka di bahagian pertahanan dimana tiga pemain yang diturunkan bukanlah regular dalam kesebelasan utama. Hanya Shahrul Saad sahaja yang beraksi daripada perlawanan pertama hinggalah perlawanan semalam.

Kurangnya persefahaman nyata menjadi masalah utama di bahagian pertahanan negara. Pada separuh masa pertama, barisan serangan Vietnam hanya memerlukan gerakan serangan balas untuk menghukum benteng pertahanan sekaligus menjaringkan gol.

Selain masalah persefahaman, barisan pertahanan negara dilihat mudah hilang konsentrasi dan memberikan ruang yang terlalu luas untuk pemain lawan memberikan asakan. Memasuki separuh kedua, barulah masalah ini dapat diatasi.

Ketiadaan pemain pertahanan berpengalaman, Aidil Zafuan nyata dirasai apabila tiada pemain yang menjadi pemimpin sekaligus membimbing rakan sepasukan di bahagian tersebut. Pengganti Aidil, Irfan Zakaria nyata gagal untuk beraksi dengan baik.

Menjelang perlawanan akhir kedua, pasukan negara kini berdepan krisis kecederaan dimana Nazirul Naim menjadi pemain terbaru yang mengalami kecederaan. Beliau digantikan dengan Adam Nor Azlin pada separuh masa pertama dan perkara ini sudah semestinya memberikan cabaran kepada Tan Cheng Hoe.

Apa yang pasti, diharapkan Aidil Zafuan dapat pulih menjelang perlawanan di Hanoi pada Sabtu ini. Selain itu, kembalinya Syahmi Safari dalam kesebelasan utama diharapkan dapat memperkemaskan lagi barisan pertahanan sekaligus membantu Mohamadou Sumareh ketika pasukan negara melakukan gerakan serangan.

Keputusan 2-2 sememangnya memberikan kelebihan buat Vietnam namun apa saja boleh berlaku. Tidak mustahil Harimau Malaya sekali lagi mencipta kejutan sama seperti ketika perlawanan di Bangkok minggu lalu.

Baca Juga: Malaysia Bangkit Ikat Vietnam

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *