Bayarlah Hak Kami – Mohd Noor Md Derus
- Lain-lain
- Jan 17, 2019
- No comment
Bekas ketua jurulatih pasukan Terengganu Cty FC, Mohd Noor Md Derus menggesa bekas majikannya itu untuk membayar tunggakan gaji pemain dan pegawai kerana itu adalah hak mereka setelah bertungkus-lumus memastikan TCFC muncul sebagai juara Piala FAM musim 2018.
Mohd Noor jelas kecewa dengan pengurusan pasukan Terengganu City kerana gajinya bersama staf kejurulatihan yang lain tidak dibayar bermula dari bulan Julai hingga Disember tahun lalu. Pelbagai janji telah ditabur oleh pengurusan bagi menyelesaikan hutang namun hakikatnya janji hanya tinggal janji.
“Berapa lama lagi harus kami tunggu untuk mendapatkan hak kami?
“Bukan setakat tunggakan gaji kami tak dapat, duit kemenangan menjuarai Piala FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) musim lalu pun belum merasa.
“Kaedah mana lagi yang perlu kami lakukan? Sedangkan pelbagai pendekatan mengikut prosedur yang dibenarkan sudah kami buat termasuk mengadu kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).
“Tapi sehingga ke hari ini (semalam) satu sen pun tunggakan gaji kami belum dibayar, begitu juga wang kemenangan seolah-olah bekas majikan kami begitu `kebal’, ini yang memeningkan kepala kami serta pemain,” kata Mohd Noor menurut laporan Berita Harian.
Tambah Mohd Noor, beliau dan barisan kejurulatihan pasukan yang lain kini semakin terdesak dan memerlukan kewangan dengan segera bagi meneruskan hidup. Lapan bulan tanpa menerima sebarang gaji sememangnya sukar untuk mereka.
“Oleh itu, kami rayu FAM mengambil berat mengenai nasib kami selain perlu bersikap bijak menangani masalah ini yang berlarutan hampir lapan bulan.
“Kami juga rayu FAM mempertimbangkan dan menyalur segera kepada kami wang kemenangan menjuarai trofi Piala FAM sebanyak RM200,000 itu, jika tidak banyak dapat sedikitpun cukuplah dulu, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami untuk persekolahan anak,” tambahnya.
Akibat daripada isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh Terengganu City FC, pasukan itu tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini meskipun muncul juara Piala FAM 2018 dengan menewaskan pasukan Selangor United di perlawanan akhir.
Tempat mereka diambil alih oleh pasukan Perlis Northern Lions.
Baca Juga: Terengganu City FC Tidak Dibenarkan Beraksi