Bekas Pemain Beri Sokong Kepada Subkhiddin

Beberapa bekas pemain skuad kebangsaan memberikan sokongan kepada Subkhiddin Mohd Salleh supaya terus kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas pemain pertahanan negara, Shebby Singh berkata Subkhiddin masih lagi individu yang tepat untuk mengisi jawatan berkenaan.

“Kami daripada ‘The Friendship Ciricle’ terdiri daripada bekas pemain kebangsaan dan negeri menyatakan sokongan kepada Subkhiddin untuk terus memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

“Setakat ini, hampir 60 bekas pemain sudah menyatakan sokongan kepada Subkhiddin. Kami percaya beliau masih lagi yang terbaik bukan saja dari segi pengalamannya malah beliau juga dipilih oleh ahli gabungan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM.

“Subkhiddin harus dikekalkan, untuk melakukan perubahan perlukan masa, takkan disebabkan satu prestasi pengadil (final Piala Malaysia 2018), semua habis menjadi korban,” katanya kepada Sukan NSTP.

Antara bekas pemain yang turut memberi sokongan adalah Shahril Arsat, Azraai Khor Abdullah, Fuad Abdullah, Razip Ismail, K Gunalan, Zainal Noordin, Wan Jamak Wan Hassan dan P Maniam.

Subkhiddin sebelum ini membuat pengumuman untuk meletakkan jawatan susulan pelbagai kritikan yang diterima mengenai mutu pengadilan pada aksi perlawanan akhir Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu hingga membabitkan ahli keluarga beliau.

Ada pihak mahu Subkhiddin untuk bertanggungjawab kerana memilih J.Suresh yang didakwa gagal mengawal perlawanan antara Perak dan Terengganu.

Tambah Shebby, Subkhiddin seharusnya tidak terlalu melayan kritikan penyokong menerusi sosial media.

“Zaman sosial media ini, memang ramai orang berani mengkritik tapi ada yang tidak tengok perlawanan bola sepak pun. Kita jangan terlalu mengagung-agungkan jurulatih luar, mereka juga ada buat kesilapan.

“Kalau kita lihat perlawanan Liga Juara-Juara pagi tadi, pengadil dari Hungary Viktor Kassai lagi teruk apabila memberikan sepakan penalti kepada Manchester City sedangkan pemain Shakhtar Donetsk tidak mengasari Raheem Sterling. Beliau pengadil yang pernah mengadili final Liga Juara-Juara, tapi masih buat silap,” tambahnya.

Baca Juga: FAM Bakal Pertimbangkan Hasrat Subkhiddin

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *