Bekas Pemain Kebangsaan Sokong Tindakan FAM

Dua bekas pemain skuad kebangsaan, Kamarudin Abdullah dan Khalid Ali menyatakan sokongan mereka kepada langkah yang diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung penggantungan geran tahunan bagi pasukan yang gagal untuk melunaskan tunggakan gaji.

Dua bekas pemain ini menyatakan tindakan tersebut wajar diambil bagi menunjukkan tanda tegas badan induk bola sepak negara terhadap isu membabitkan kegagalan pasukan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

“Pada dasarnya saya setuju dengan tindakan itu tapi umumnya ia bukan jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini. Kita perlu ada cara lebih baik bagi mengatasi masalah ini.

“Asasnya baik untuk menjaga kebajikan pemain yang tidak dapat gaji. Tapi saya tidak mahu pasukan bersikap sambil lewa dengan perkara ini. Maksud saya mudah, jika ada berlaku lagi tunggakan gaji pada musim 2019, pasukan tidak menganggap ia isu besar dan segalanya boleh diselesaikan dengan potongan geran musim 2020.

“Apa pun ia inisiatif yang baik untuk menangani masalah ini namun semuanya berbalik kepada pasukan itu sendiri. Jangan terlalu bergantung kepada geran dan jika mahu berbelanja lebih, carilah duit sendiri,” kata Kamaruddin kepada Berita Harian.

Minggu lalu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan Liga Malaysia merupakan ‘juara’ dalam isu tunggakan gaji pemain di saingan bola sepak rantau Asia. Sejumlah 262 kes yang dilaporkan mungkin bertambah kerana ada dakwaan tunggakan gaji yang belum dilaporkan kepada Jawatankuasa Tatatertib.

Menurut seorang lagi bekas pemain, Khalid Ali, beliau bersetuju dengan langkah FAM dan percaya kepimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin mampu untuk memperbaiki masalah yang terjadi.

“Jumlah 262 adalah kes terkumpul sejak beberapa tahun dan usaha menyekat serta memotong geran tahunan bukan usaha baru diperkenalkan. Isunya sekarang adalah lebih kepada pelaksanaan.

“Mungkin sebelum ini ada pasukan tidak takut dengan sebarang tindakan yang diambil FAM. Jadi saya harap kali ini ia dapat dilakukan dengan lebih tegas dan saya percaya dengan kepimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin kita mampu laksanakannya dengan baik,” tambahnya.

Baca Juga: FAM Gantung Penyertaan Pasukan “Bermasalah”

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *