Bekas Pemain Perlis Turut Harapkan Bantuan
- Liga Perdana
- Mar 8, 2019
- No comment
Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membantu melangsaikan tunggakan gaji lapan pasukan mendapat reaksi bekas pemain pasukan Perlis dimana mereka berharap untuk turut mendapat bantuan daripada badan induk bola sepak negara itu.
Semalam, FAM mengumumkan mereka telah menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai lapan pasukan Liga Malaysia iaitu PDRM FA, Felcra FC, MOF FC, DBKL FC, Felda United, Hanelang FC serta Marcerra United yang keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.
Bekas pemain Perlis, Amiridzwan Taj Tajuddin berkata beliau berharap perkara sama akan berlaku kepada bekas pemain Perlis dan beliau meminta bantuan FAM untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pasukan yang telah disingkirkan daripada saingan Liga Perdana itu.
“Saya harap benda yang sama akan berlaku kepada Perlis sebab kalau diambil kira pasukan kami sudah ditutup.
“Ramai yang tiada pasukan ketika ini, kami juga ada tanggungan masing-masing dan semua pemain mengharapkan pembelaan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, pemain-pemain Perlis perlu menunggu keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 15 Mac ini sama ada pengelola Liga Malaysia itu akan memberi geran kepada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) atau sebaliknya.
Ini kerana, situasi Perlis berbeza dengan kesemua lapan pasukan terlibat kerana duit yang digunakan FAM untuk menyelesaikan tunggakan gaji bukan daripada geran, sebaliknya menggunakan sumber lain seperti deposit pendaftaran serta wang kemenangan.
Duit geran tahunan pasukan Perlis terletak sepenuhnya di tangan MFL, dan tiada kaitan dengan badan induk bola sepak Malaysia itu.
“Inisiatif diambil FAM untuk menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh Persatuan ini adalah sebahagian usaha bagi meringankan beban individu yang terlibat dengan masalah tunggakan gaji ini.
“FAM turut berharap agar pasukan-pasukan terbabit menghargai usaha yang dilakukan kerana ia telah mengurangkan sebahagian tunggakan yang perlu dijelaskan.
“Mereka juga perlu memiliki rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan baki tunggakan kepada pemain dan pegawai yang terlibat ini,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
Baca Juga: MFL Perlu Membuat Keputusan Secara Adil