Bekas Pemenang Piala Malaysia Pun Bungkus ?

Bekas pemenang Piala Malaysia, pasukan Perlis dikhabarkan berkemungkinan besar mengkut jejak langkah Kuantan FA apabila lenyap dari saingan Liga Malaysia setelah mengalami krisis kewangan yang sangat memprihatinkan.

Ketika ini, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bergerak tanpa presiden dan juga setiausaha agung. Shaharuddin Ismail selaku presiden PFA telah meletakkan jawatan bersama Nor Shahril Bakar selaku setiausaha agung.

Peletakkan jawatan Shahruddin dan Nor Shahril ini telah menyebabkan sumber kewangan PFA semakin menipis dan jika mereka gagal untuk menurunkan pemain seperti mana Kuantan FA pada April lalu, berkemungkinan besar mereka bakal menerima nasib yang sama seperti Kuantan FA.

Apa yang terjadi kepada bekas pemenang Piala Malaysia ini amat disayangkan memandangkan pasukan Perlis merupakan pasukan jaguh dalam saingan Liga Malaysia satu ketika dulu. Perlis pernah memenangi Piala FA sebanyak dua kali iaitu pada edisi 2004 dan 2006. Mereka juga pernah melangkah ke perlawanan akhir Piala FA sebanyak tiga kali.

Perlis juga pernah diwakili oleh barisan pemain import terbaik dalam saingan Liga Malaysia. Antara pemain import yang pernah mewakili Perlis adalah Zacharia Simukonda, Emile Mbouh-Mbouh dan Philemon Chepita. Mereka bagai tak terkalahkan apabila dibarisi pemain ini.

Pasukan Perlis sebelum ini diarahkan untuk membayar tunggakan gaji kepada 22 pemain mereka. Tunggakan gaji tersebut dipercayai bermula daripada bulan Februari.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, mendedahkan bahawa bukan pasukan Perlis saja yang ketika ini sedang dilanda masalah.

Firdaus mendedahkan bahawa terdapat beberapa pasukan kini dalam perancangan untuk menarik diri dari saingan Liga Malaysia ekoran adanya perubahan kerajaan di peringkat persekutuan setelah pilihan raya ke-14 lalu.

Sekarang kita boleh lihat betapa pentingnya untuk mengasingkan bola sepak daripada pengaruh politik. Apabila terjadi perkara seperti ini, maka masalah boleh dielakkan.

Walau apa pun, diharapkan semua pasukan dapat menyelesaikan masalah masing-masing agar tidak memberi kesan kepada para pemain dan juga pegawai pasukan.

Baca Juga: Ada Duit Atau Tiada, Hutang Tetap Wajib Dibayar!

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *