Bekas Physio Hanelang Dan TCFC Tuntut Tunggakan Gaji
- Liga Perdana
- Nov 15, 2018
- No comment
Bekas physio Hanelang FC dan Terengganu City FC dari Indonesia, Fortunella Levyana menuntut tunggakan gaji daripada bekas majikan beliau.
Menurut laporan Foxsport Asia, ketika berkhidmat bersama Hanelang, Levyana hanya menerima gaji untuk tiga bulan pertama sahaja.
“Di Hanelang, saya ada kontrak dari Januari hingga Oktober. Tetapi saya baru terima tiga bulan gaji iaitu untuk Januari, Februari dan Mac. Saya tidak menerima gaji sehingga bulan Mei. Kalau mengikut kontrak, gaji saya sepatutnya sehingga Oktober. Tapi sekarang kontrak itu bagaikan hanya sehelai kertas buat mereka.
“Sementara itu di Terengganu City FC pula saya diarahkan berpindah ke sana kerana Hanelang menarik diri dan mereka berjanji untuk membayar gaji saya. Tetapi malangnya sama juga. Bahkan lebih teruk kerana selaku juara Piala FAM seharusnya mereka tiada masalah untuk membayar gaji.
“Apa yang lebih pelik, Hanelang dan Terengganu City FC tidak memberikan saya salinan kontrak. Ini pertama kali saya berkerja tetapi tidak diberikan salinan kontrak oleh pihak pengurusan,” kata Fortunella.
Physio yang mempunyai wajah menawan ini mula bekerja di Malaysia bersama Terengganu City FC pada musim lalu. Namun dia cuma bertahan satu bulan sebelum menyertai Hanelang FC pada tahun ini dan kemudian kembali bersama Terengganu City FC.
Tuntutan yang dilakukan oleh Fortunella ini nyata membawa babak tunggakan gaji Hanelang dan Terengganu City ke satu babak yang baru.
Secara tidak langsung, Hanelang dan Terengganu City sudah mencalarkan reputasi dan juga nama baik Liga Malaysia di mata rakyat Indonesia dengan kegagalan mereka membayar gaji Fortunella.
Apa yang penting sekarang ini, kedua-dua pasukan perlu melunaskan tunggakan gaji bukan saja Fortunella tetapi pemain yang lain kerana mereka juga ada tanggungan dan juga kehidupan peribadi yang perlu difikirkan.
Untuk makluman, Tunggakan tertinggi membabitkan tuntutan gaji dan pampasan baki kontrak 20 pemain Hanelang FC adalah bernilai RM1.1 juta. Terengganu City FC turut terpalit masalah sama yang menyaksikan seramai 11 pemain menuntut hak mereka membabitkan tunggakan RM321,700.
Baca Juga: terengganu FC II Ganti Terengganu City FC ?