Berapa Ramai Pemain Yang Kita Perlukan ?

Apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk mengkaji penggunaan pemain naturalisasi bagi mewakili pasukan kebangsaan, perkata ini menimbulkan persoalan di minda kami. Berapa ramai pemain naturalisasi yang kita perlukan ?

Jika kita melihat kepada pemain yang berkemungkinan besar menjadi pemain pilihan untuk dinaturalisasi, ada dua pemain iaitu Liridon Krasniri dan Mohamadou Sumareh. Kedua-dua pemain ini sudah lama bertapak di Liga Malaysia. Satu lagi nama yang boleh dipertimbangkan ialah pemain tengah Terengganu FC, Lee Andrew Tuck.

Kami berpendapat tiga pemain ini sudah cukup untuk dinaturalisasi kerana ketiga-tiga pemain ini mempunyai pengalaman serta kelebihan yang tersendiri. Liridon dan Lee Tuck boleh memberikan impak yang positif di bahagian tengah pasukan negara manakala Sumareh pula boleh meningkatkan lagi kualiti serangan pasukan negara.

Ketiga-tiga pemain ini dicampur dengan pemain berdarah campuran seperti Natxo Insa dan juga Matthew Davies boleh memantapkan lagi corak permainan dan juga kualiti pasukan negara. Kelima-lima pemain ini sudah cukup sekiranya Tan Cheng Hoe mahuka impak yang segera.

Mengapa kami memilih lima pemain sahaja dan bukannya satu kesebelasan yang mengandungi pemain naturalisasi dan pemain kacukan ? Jawapannya mudah. Jika terlalu ramai pemain naturalisasi dan pemain kacukan, pemain tempatan kita akan terlalu bergantung kepada mereka.

Lihat saja situasi semasa dalam saingan Liga Malaysia. Kebanyakkan pasukan terlalu bergantung kepada pemain import untuk menjaringkan gol sekaligus mencipta impak buat pasukan manakala pemain tempatan hanya dipandang sebagai pelengkap dalam kesebelasan utama sahaja.

Hanya segelintir pemain tempatan yang dilihat diberi kepercayaan untuk membawa cabaran pasukan antaranya Safawi Rasid yang berjaya menampilkan persembahan terbaik beliau musim ini. Ini kerana Safawi diberi kepercayaan dengan tampil dalam kesebelasan utama bagi JDT musim ini.

Walau apa pun, biarlah FAM mengkaji terlebih dahulu dan kemudiannya membuat keputusan pemain mana yang akan dinaturalisasi. Apa yang penting, pemain tersebut perlulah pemain yang mampu untuk memberi impak bukan saja kepada pasukan tetapi secara keseluruhan termasuk kepada pemain tempatan.

Apa pendapat anda mengenai berapa ramai pemain naturalisasi yang kita perlukan untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan ? Adakah kurang daripada 5 pemain seperti yang kami cadangkan ? Atau lebih kerana lebih banyak pemain maka lebih banyak pilihan buat Tan Cheng Hoe ?

Baca Juga: Azri Abdul Ghani, Penjaga Gol Masa Depan Negara

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *