Berikan Fokus Sepenuhnya Untuk Separuh Akhir
- Harimau Malaya
- Nov 25, 2018
- No comment
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menggesa para pemain untuk memberikan fokus sepenuhnya ke atas perlawanan separuh akhir setelah berjaya mengesahkan kemaraan dengan menewaskan pasukan Myanmar semalam.
Kata Cheng Hoe, kemenangan ke atas Myanmar merupakan satu kelegaan yang tersendiri setelah tekanan tinggi yang dihadapi oleh pemain sebelum perlawanan bermula.
“Saya fikir keputusan ini melegakan pemain apabila sepanjang minggu ini mereka hanya memikirkan untuk mencari kemenangan.
“Dalam latihan, pemain tertekan dan kami kena terus memberi motivasi supaya mereka pemain mengubah permainan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Setelah mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir, kini Cheng Hoe mahukan anak-anak buah beliau untuk mengalihkan fokus dan memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada persediaan menjelang perlawanan separuh akhir pertama pada 1 Disember.
“Amat penting untuk kami mendahului dalam permainan tadi untuk memberi keyakinan kepada pemain.
“Walaupun sudah layak ke separuh akhir, kami masih perlu memperbaiki prestasi, kekal fokus dan bersedia untuk perlawanan seterusnya,” kata Cheng Hoe.
Zaquan Adha dan Norshahrul Idlan Talaha menjadi duri dalam daging kepada pasukan lawan apabila kedua-dua pemain ini berjaya menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan mutlak memihak kepada Malaysia.
Norshahrul membuka tirai jaringan pada minit ke-26 apabila beliau bijak menolak masuk bola muntah hasil daripada percubaan awal Mohamadou Sumareh yang terkena palang gol.
Ketua pasukan, Zaquan Adha kemudiannya menggandakan kelebihan buat Harimau Malaya apabila beliau berjaya menyempurnakan sepakan penalti seminit sebelum separuh masa pertama tamat.
Pada penghujung separuh masa kedua, Zaquan menjaringkan gol kedua peribadi dimana bola yang mahu dikeluarkan oleh pemain pertahanan Myanmar terkena beliau dan melantun masuk ke dalam gawang pasukan lawan.
Baca Juga: Pemain Saya Gementar – Antoine Hey