Berikan Peluang Kepada Pengadil Tempatan
- Lain-lain
- Feb 20, 2019
- No comment
Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berharap pengadil tempatan diberikan peluang untuk menampilkan kemampuan yang dimiliki dengan penubuhan badan bebas pengadil, Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM), tahun ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, beliau bimbang kritikan yang dilemparkan terhadap pengadil tempatan memberikan kesan buruk khususnya dari segi psikologi setelah ramai pihak yang mempertikaikan kredibiliti pengadil Liga Malaysia baru-baru ini.
Justeru itu Kevin menggesa kepada semua pihak termasuk pemain, pasukan, media dan peminat dapat memberikan input positif kepada pengadil tempatan terutama pengadil muda yang baru saja menggalas cabaran kerana mereka bakal menggalas harapan untuk memperbaiki mutu pengadilan bola sepak negara di era profesional.
“Dalam minggu-minggu awal Liga Malaysia ini, ramai yang mengkritik (mutu pengadilan) dan apa yang kita dapat lihat momentum itu hadir daripada setiap pasukan yang cukup meneliti setiap keputusan para pengadil.
“Boleh dikatakan semua pihak menyumbangkan keraguan atau analisis lebih mendalam terhadap persembahan pengadil kita. Jadi, kita kena faham bahawa ada di antara mereka ini akan dijadikan sebagai pengadil profesional.
“Jika kita menghancurkan keyakinan dan semangat mereka untuk menjadi pengadil profesional, kemungkinan ia akan memberi kesan pada masa akan datang dan disebabkan itu kita masih perlukan khidmat pengadil senior untuk dijadikan sebagai pengadil profesional,” kata Kevin menurut laporan Utusan Malaysia.
Kevin juga berharap pengadil tempatan tidak berputus asa serta tidak patah semangat sekaligus menggesa pengadil tempatan untuk terus menampilkan prestasi cemerlang dan memperbaiki kemampuan sedia ada jika diberikan peluang oleh Pengurus Besar PMOM yang akan dilantik nanti.
“Apa yang merisaukan saya adalah dengan apa yang telah berlaku, ada di antara pengadil sukar untuk pulihkan keyakinan disebabkan setiap langkah atau keputusan mereka semuanya menjadi pertikaian semua pihak.
“Saya berharap mereka tidak akan sesekali patah semangat dan diberikan peluang untuk membuktikan kebolehan mereka menjadi pengadil profesional jika ditawarkan oleh Pengurus Besar PMOM nanti,” tambahnya.
Baca Juga: MFL Cari Calon Dari Luar Negara