Berikan Ruang Kepada Lim Teong Kim
- Lain-lain
- Jul 27, 2018
- No comment
Pengendali skuad bawah 16 tahun negara, Lim Teong Kim menyalahkan kesilapan pemain beliau di atas kekalahan kepada pasukan India bawah 16 tahun dalam satu perlawanan persahabatan yang dijalankan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Pasukan yang dibentuk menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dilihat mempamerkan corak permainan yang jauh berbeza berbanding yang mereka amalkan sebelum ini iaitu falsafah bola sepak moden dan menggunakan corak permainan long ball pada perlawanan semalam.
Dalam empat perlawanan persahabatan yang dijalankan sebelum ini, pasukan bimbingan Teng Kim tewas dua kali iaitu kepada Korea Selatan dengan keputusan 4-0 dan tewas kepada India 2-0 manakala mengutip dua kemenangan dengan menewaskan Indonesia 4-3 dan menewaskan Kemboja 4-0.
Bekas pemain Hertha Berlin dan juga Kuala Lumpur ini diberi sasaran untuk membawa pasukan negara layak ke temasya Piala Dunia Remaja di Peru tahun depan menerima kritikan hebat daripada para pemerhati bola sepak tempatan di atas prestasi yang tidak menentu pasukan bawah 16 tahun negara dalam empat perlawanan persahabatan yang dilalui.
Ada yang berpendapat Teong Kim seharusnya sudah memiliki kesebelasan utama terkuat untuk menghadapi saingan AFC yang akan membuka tirai dua bulan lagi. Namun, bekas jurulatih remaja Bayern Munich itu masih lagi mahu menguji beberapa pemain baru dalam pasukan beliau.
Teong Kim juga mengesahkan bahawa beliau tidak akan menghantar pasukan utama ke Kejohanan AFF di Indonesia bermula Ahad ini dengan pasukan kedua akan mengambil tempat di saingan rantau Asia Tenggara itu.
Walau apa pun, kami berpendapat kita perlu memberikan ruang kepada Lim Teong Kim bagi membentuk skuad terbaik untuk memastikan Malaysia layak ke temasya Piala Dunia Remaja di Peru pada tahun hadapan.
Tekanan besar sememangnya terletak di bahu Teong Kim bagi merealisasika impian tersebut. Jadi, langkah terbaik yang boleh kita berikan kepada beliau ialah sokongan dan juga peluang untuk Teong Kim membentuk satu pasukan yang mantap dan mampu untuk bersaing.
Baca Juga: Kemana Hilangnya Bakat Najmuddin Samat ?