Bola Sepak Indonesia: Lebih Maju Dari Malaysia Selepas Menjalani Tempoh Penggantungan?
- Lain-lain
- Nov 21, 2017
- No comment
Saya berpengalaman ke Indonesia ketika tempoh PSSI (Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia) ketika seluruh bolasepak mereka digantung. Saya berada di sana lebih kurang seminggu untuk melawat kelab bolasepak bernama PS Barito Putera serta Arema Malang sekitar Ogos 2017.
Ketika kita, mentertawakan Ricky Nugraha serta warga bolasepak Indonesia khususnya, mereka berubah ketika itu. Mereka tampak lebih bersedia dalam mempersiapkan liga yang baru serta melakukan revolusi secara besar-besaran. Untuk saya berbicara soal Persebaya atau PSS Sleman, saya yakin berpuluh-puluh anak muda dari Malaysia sendiri telah terbang sendiri untuk mengetahui hal tersebut.
Dari segi pengurusan kelab, kelab-kelab bolasepak Indonesia kebanyakkannya telah berubah dan kini lebih mesra penyokong walaupun ada sesetengah dari mereka yang masih belum menyelesaikan beberapa masalah dengan penyokong. Keperluan engagement yang baik antara akan memberikan satu perasaan puas hati kepada penyokong. Transparency sebarang laporan kewangan kelab juga adalah sesuatu yang sangat memberikan rasa puas hati penyokong dengan kelab. PSS Sleman antara kelab yang memulakan langkah-langkah untuk terus transparent tanpa sebarang rahsia termasuklah laporan audit kewangan.
Saya sempat mewawancara pegawai pemasaran PS Barito Putera, saudara Wira Pratama yang juga merupakan pengurus penyokong PSS Sleman wilayah Kalimantan Selatan mengenai jualan merchandise kelab PS Barito Putera secara bulanan dan secara purata, mereka mendapatkan hasil jualan yang memberangsangkan iaitu lebih kurang RM20,000 sebulan dari hasil jualan merchandise termasuklah jersi rasmi kelab dan lain-lain.
Di Malaysia, adalah sukar untuk melihat jersi yang merupakan keluaran Malaysia, jika ada pun cuma Al-Ikhsan dan harganya adalah sekitar RM80. Namun, situasi yang berbeza berlaku di Indonesia, kelab-kelab di sana lebih suka untuk menggunakan pakaian sukan yang Made In Indonesia yang mana kelab sendiri boleh mengawal jumlah keluaran jersi untuk setiap bulan serta harga yang boleh dijual lebih murah dari harga jersi kelab-kelab di Malaysia.
Coach Jacksen F.Thiago melawat kedai menjual merchandise pasukan Barito Putera.
Bukan di Malaysia tiada pengeluar-pengeluar jersi yang berkaliber seperti yang Extravaganza lakukan bersama Shah Alam Antlers. Itu belum kita ambil kira Kaki Jersi, Tiki-Taka Design yang turut bergiat aktif bekerjasama dengan kelab-kelab kecil di Selangor. Apabila pengeluaran jersi dapat dikawal oleh kelab, saya yakin dan percaya, isu jersi cetak rompak tidak lagi menjadi masalah.
Kebanyakkan kelab-kelab Indonesia juga sedang menuju kearah sistem tiket online yang efisien serta memudahkan melalui laman sesawang kelab. Bagi ahli kelab, anda boleh membeli tiket perlawanan liga sekitar lima hari lebih awal berbanding penyokong biasa. Penjualan awal tiket ini biasanya akan dibuat di kedai kelab yang biasanya terletak di tengah bandar kerana biasanya stadium kelab-kelab mereka terletak di luar bandar.
Seperti PS Barito Putera, kelab mereka telahpun mengadakan sistem tempat duduk bernombor untuk grandstand bagi memudahkan penyokong setia mereka, dan walaupun kapasiti stadium mereka sekitar 15 ribu tempat duduk, pengurusan kelab hanya mengeluarkan sekitar 12 ribu tiket bagi memudahkan kawalan keselamatan di stadium. Saudara Wira Pratama juga turut berkata kepada saya yang mereka juga turut menyediakan booth-booth bagi semua penaja mereka sebagai contoh Hasnur Group (syarikat konglomerat di Kalimantan Selatan), Bank Kalsel (bank yang utama di Kalimantan Selatan), Go-JEK (perkhidmatan teksi motorsikal) serta pelbagai lagi. Adakah kelab Malaysia masih belum belajar mengenai cara untuk meningkatkan return of investment penaja yang menaja?
Tiket untuk grandstand.
Bercerita mengenai ini sahaja sudah boleh menunjukkan betapa jauh kelab-kelab bolasepak kita yang ketinggalan selain kelab bolasepak Johor Darul Takzim. Tidak semua negeri memerlukan putera raja untuk mengemudi pasukan kelab bolasepak negeri tersebut, cukuplah manusia-manusia yang sepenuh hati berjuang untuk melihat kelab mereka diuruskan dengan baik yang mana sudah tentu akan menyumbang kepada keputusan yang baik di atas padang serta boleh menyumbang kepada mata ranking bolasepak FIFA untuk negara yang bernama Malaysia.
Catatan: Artikel diatas ditulis oleh Saudara Azman Mukhsin. Jika anda mempunyai sebarang artikel yang ingin dihantar, hubungi kami melalui laman media sosial Inikan Bola.