Bola Sepak Sosial – Antara Realiti Dan Fantasi
- Lain-lain
- Sep 5, 2018
- No comment
Ketika artikel ini ditulis, penulis sedang menyaksikan sebuah perlawanan bolasepak bertaraf amatur ataupun yang lebih dikenali dengan nama bola sepak sosial tetapi diiktiraf oleh sebuah organisasi profesional, Malaysian Fotball League atau MFL iaitu Liga M5.
Pengenalan liga berstruktur M5 , satu struktur berkonsep piramid dalam landskap bolasepak negara oleh badan pengelola, MFL pada musim ini semakin merancakkan senario bolasepak amatur.
Dikenali dengan pelbagai nama, bolasepak amatur, sosial, komuniti atau nama yang lebih sinonim dikalangan penggiatnya, liga haram. Kini ianya semakin tumbuh bak cendawan selepas hujan – malah sedikit demi sedikit sudah ramai bakat yang dipandang dari kalangan pemain liga haram ini untuk dinaiktaraf dan dihalalkan.
Sistem bolasepak negara sudah lama berpaksikan kepada sistem ortodoks dimana bakat bakat yang dijangkakan berpotensi seawal peringkat umur, diintai dari pertandingan antara sekolah, daerah sehingga pertandingan antara negeri yang rata rata nya diwakili oleh pelajar sekolah sukan yang telah lama dikumpulkan bersama atas nama pembangunan… maka peluang untuk pemain pemain yang lambat panas atau late bloomers pastinya dipandang sepi.
Namun perubahan zaman dan peredaran masa menyaksikan telah banyak perubahan. Banyak pertandingan di peringkat bawah umur, malah kemunculan akademi akademi bolasepak samada berbayar atau hanya diasaskan oleh mereka yang punya minat menyepak bola di taman taman permainan dalam perumahan merancakkan lagi talent pool yang bakal dinikmati oleh sekolah sekolah sukan nanti.
Berbalik kepada liga haram atau lebih elok dipanggil liga bolasepak sosial yang juga semakin banyak penganjurannya ketik ini. Jika dahulu , kesempatan untuk bermain bolasepak di waktu malam adalah ibarat satu luxury atau kemewahan yang tak semua peminat bola boleh rasai.
Dahulu, hanya stadium atau mini stadium milik majlis perbandaran atau universiti awam yang boleh disewa…tetapi harganya pasti mencecah ribuan ringgit malaysia. Tetapi, memasuki tahun 2018, segalanya berbeza.
Kemunculan padang padang sintetik mahupun berumput cowgrass yang dilengkapi lampu lampu limpah bertaraf sederhana sudah cukup untuk menjadi venue pemain pemain liga sosial ini. Bermula hanya dengan aturan siri perlawanan persahabatan, sehinggalah kepada penganjuran liga oleh pelbagai penganjur merancakkan persaingan yang dicipta sesama sendiri ini.
Bukan sahaja penganjuran liga yang lebih kompetitif dengan pengenalan pelbagai divisyen seperti Perdana, Super, Premier walhal sehinggalah ke tahap Champions League, tetapi organisasi pasukan pasukan yang bersaing juga menjadi semakin kemas.
Ada pasukan yang dibentuk atas dasar semangat komuniti. Shah alam Antlers pasti antara nama terawal yang meniti di bibir peminat liga sosial kerana hype ciptaan mereka. Cheras Raptors kerana rivalry yang tercetus dari kisah di sebalik tabir. Bukit Kucing FC, Kota Kemuning Young Guns, Shah Alam United dan banyak lagi.
Malah, ada pasukan yang terbina kerana semangat setiakawan dan persahabatan sekian lama seperti Jelong FC, Klasiko FC, Askar Upahan FC, Ohana FC dan Prato FC hanyalah beberapa contoh pasukan yang sering mewarnai situasi liga sosial tatkala ini.
Jika di luar negara ini situasi biasa. Di Australia misalnya, setiap daerah setiap kejiranan ada pasukan mereka sendiri. Anak anak dihantar berlatih bersama jurulatih yang dilantik sama ada atas dasar minat atau lantikan secara merit.
Malah dana untuk menguruskan pasukan dikumpul sesama ibubapa atau kejiranan demi memastikan kegiatan berfaedah dapat dibentuk di komuniti tersebut dan mereka punya semangat kebertanggungjawaban kepada pasukan itu. Situasi yang baru ingin dipupuk konsepnya di negara kita.
Apa yang pasti, pengenalan liga bertaraf M5 ni ibarat satu kemuncak kepada segala usaha komuniti kecil yang serius di dalam pembangunan bakat bakat yang terpinggir ini.
Pastinya, melihat bakat bakat yang lahir dari liga haram sehinggalah menjadi pemain profesional suatu hari nanti adalah ibarat satu fantasi yang menjadi idaman setiap wartawan untuk di karang cerita mereka suatu hari nanti.
Malah peluang 9 pasukan komuniti musim lepas diberi peluang beraksi dan di ajar bolasepak sebenar oleh pasukan profesional di kancah persaingan Piala FA adalah hanya satu permulaan.
Namun realitinya, di dalam kita sibuk mengejar dan berlumba lumba menjadi pasukan yang hebat di kalangan pasukan pasukan amatur ini, janganlah terlalu ghairah sehingga kita sendiri menjadi segala perkara yang pernah kita “bangsatkan“ satu ketika dahulu.
Jangan menjadi pemain yang mudah berpuas hati, lupa kepada rule of the games dan semangat fair play kepada bolasepak atau bahasa mudahnya, mental cepat koyak. Kejadian seorang pemain mencederakan pengadil di sebuah Liga M5 baru baru ini perlu diberi perhatian serius, malah tindakan tegas perlu diambil untuk dijadikan pengajaran.
Jangan menjadi pengadil yang hanya datang mengambil lesen pengadil supaya suatu hari nanti boleh menjadi pengadil yang ibarat makan kuaci di tepi padang dan hanya menunggu bayaran selepas wisel penamat ditiupkan.
Ini medan untuk anda belajar dan membantu kelestarian liga bolasepak sosial. Benar cabaran yang dihadapi sangat besar, lebih mudah menulis dari menjadi pengadil di tengah padang. Tapi itu tugas yang anda pilih. Bersama samalah berusaha untuk perbaiki diri.
Dan buat semua pemain, pengurus, penganjur dan peminat bolasepak sosial, teruskan berpijak kepada realiti agar fantasi mampu untuk digapai.
Nota: Nukilan ini ditulis oleh individu yang hanya mahu dikenali dengan nama gelaran HM17. Beliau sudah lama terlibat dalam kancah bola sepak sosial yang menjadi fenomena dalam negara ketika ini.
Baca Juga: Mengapa Selangor Champions League Wajar Dicontohi