Bolasepak Kita Perlu Lebih Matang!
- Liga Perdana, Liga Super
- Apr 17, 2018
- No comment
Minggu lalu, bolasepak Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan kejadian yang tidak disangka-sangka. Kuantan FA di Liga Perdana tidak menghantar pasukan ke Stadium Shah Alam untuk bertemu PDRM disebabkan masalah tunggakan gaji pemain yang tidak dibayar hampir empat bulan.
Walau bagaimanapun, Marcerra United yang bertanding di Liga FAM pula telah menghantar 18 pemain mereka ke Padang Astaka Kuala Berang untuk berlawan dengan Hanelang FC. Untuk pengetahuan, presiden kepada kedua-dua pasukan adalah Dr. Feardaus Khairuddin yang bermakna kedua-dua pasukan dinaungi oleh pemilik yang sama.
Di Liga 1 Indonesia pula, pertembungan di antara Arema FC dengan Persib Bandung di Stadium Kanjuruhan dicemari dengan insiden pencerobohan Aremania (penyokong Arema Malang) ke dalam padang disebabkan ketidakpuashatian Aremania kepada pengadil, Handri Kristanto, bermula selepas gol kedua Persib Bandung pada minit ke-77.
Lebih daripada itu, jurulatih Persib Bandung yang juga bekas jurulatih Johor Darul Takzim, Mario Gomez telah dibaling dengan objek sehingga mengenai kepala beliau. Perlawanan yang berakhir 2-2 ini menyebabkan Arema Malang masih gagal mengutip mata penuh selepas 4 perlawanan liga.
Insiden-insiden di dalam dan luar negara ini bukan menjadi satu isu utama yang perlu wujud di dalam sesebuah perlawanan bolasepak, apalagi kedua-dua liga merupakan liga bolasepak profesional di Asia Tenggara yang sudah semestinya menjadi tumpuan negara lain.
Isu gaji pemain merupakan satu perkara sensitif dan pernah juga dihadapi pasukan-pasukan besar di negara ini seperti Kelantan pada dua musim lepas. Pasukan Portsmouth, Parma dan Rangers – sekadar menyebut beberapa nama – juga mengalami nasib sama sehingga mereka terpaksa diturunkan ke divisyen lebih rendah disebabkan muflisnya pasukan tersebut.
Masalah penyokong dan faktor keselamatan di stadium juga harus diperhatikan. Bolasepak hanyalah satu perlawanan selama 90 minit. Semasa perlawanan berlangsung, penyokong memainkan peranan penting demi kelancaran perlawanan. Provokasi itu perlu bagi menjatuhkan mental pasukan lawan, tapi tidak perlulah sampai turun ke padang apabila tid berpuas hati. Apalagi sampai mencederakan penyokong pasukan lain sehingga berakibatkan kematian.
Ingat lagi apabila 11 Mac lepas, presiden PAOK Salonika, Ivan Savvidis masuk ke padang dan membawa pistol apabila pengadil membatalkan jaringan minit terakhir menentang AEK Athens. Liga Greece terpaksa dibatalkan selepas perlawanan itu sehingga disambung semula pada 27 Mac lepas, dan PAOK Salonika ditolak 3 mata.
Sudah semestinya Malaysia Football League (MFL) selaku penaung liga bolasepak Malaysia akan mengambil tindakan kepada isu yang dihadapi Kuantan FA. Namun sebagai penyokong, kita juga mempunyai tanggungjawab tersendiri bagi menjadikan liga bolasepak kita semakin maju ke hadapan.
Pengurusan pasukan pula perlu menjaga hak-hak pemain dan penyokong. Kita tidak mahu pasukan kesayangan kita bergelut di liga, pengurusan pula malas ambil berat dan penyokong pula enggan turun ke stadium. Bak kata nenek saya, let us give and take each others !
Nota: Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC
Baca Juga: Jadikan Pencapaian mereka Sebagai Pembakar Semangat