Bolehkah Kita Tabalkan Johor Darul Ta’zim Sebagai Juara Liga Super 2018 ?

Malam ini, pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim akan melayani kunjungan pasukan tercorot Liga Super, Negeri Sembilan. JDT berpeluang untuk meluaskan lagi jarak mereka dengan pasukan di tangga kedua iaitu pasukan Perak. Dan jika mereka menang malam ini, bolehkah kita tabalkan saja JDT sebagai juara Liga Super musim ini ?

Dalam saingan Liga Super setakat ini, hanya JDT saja yang menampilkan aksi yang konsisten. Mari kita ambil pasukan Perak dan Pahang yang ketika ini menduduki tangga kedua dan ketiga. Pada mulanya kedua-dua pasukan ini berjaya memberi tekanan kepada JDT.

Mereka berjaya mengutip kemenangan demi kemenangan dan berada dekat di belakang JDT. Namun, dalam tiga perlawanan terakhir, Perak dan Pahang tidak mampu untuk meneruskan rentak cemerlang mereka dan mula keciciran mata.

Manakala JDT pula tenang dengan mengutip kemenangan dan menjarakkan lagi kedudukan mereka di puncak Liga. Setakat ini, mereka hanya tewas sekali, menang lapan kali dan mempunyai jumlah jaringan bolos paling sedikit dalam saingan Liga.

Jika JDT berjaya mengutip tiga mata penuh malam ini, maka mereka akan berkelebihan sebanyak lapan mata daripada pasukan Perak di tangga kedua dan sepuluh mata di hadapan pasukan Pahang. Dan jika ini berlaku, penulis berpendapat akan semakin sukar untuk pasukan lain mengejar JDT.

Pasukan yang berada di belakang JDT perlu mengharapkan keajaiban untuk anak-anak buah Raul Longhi ini gagal untuk mengutip mata penuh dalam tiga perlawanan akan datang.

Walau apa pun, JDT terlebih dahulu perlu menghadapi cabaran daripada pasukan Negeri Sembilan malam ini. Penulis menjangkakan Longhi akan mengekalkan kesebelasan utama sepertimana ketika JDT seri dengan Selangor pada awal bulan ini.

Bagi Negeri Sembilan pula, Angel Guirado berkemungkinan besar bakal diturunkan bagi digandingkan degan Nicolas Velez di bahagian serangan. Negeri Sembilan perlukan kemenangan untuk berpeluang keluar daripada zong penyingkiran.

Apa pendapat anda mengenai peluang Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan malam ini ? Jika berjaya mengutip tiga mata penuh, bolehkah kita tabalkan mereka sebagai juara Liga Super musim ini ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *