Bruno Lopes Bakal Dilepaskan ?

Nampaknya usaha pasukan Kelantan untuk merubah wajah pasukan masih lagi diteruskan. Yang terbaru, ada empat lagi pemain yang bakal ditamatkan kontrak oleh pengurusan pasukan. Antara empat pemain tersebut, ada ura-ura mengatakan pemain import pasukan, Bruno Lopes bakal ditamatkan kontrak akibat daripada kecederaan yang dialami.

Prestasi Bruno setakat ini sememangnya tidak memberangsangkan. Dalam 5 perlawanan Liga Super, beliau hanya mampu menjaringkan satu gol, tepatnya ketika pasukan Kelantan tewas pada perlawanan pembukaan Liga menentang Melaka United. Ketika ini, Bruno mengalami kecederaan otot.

Kecederaan yang dialami oleh Bruno memaksa beliau untuk berehat selama dua bulan. Perkara ini nyata memaksa pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menggugurkan beliau. Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata mereka terpaksa menggantikan Bruno kerana Kelantan ketika ini berada di kedudukan bahaya dan memerlukan kemenangan untuk segera keluar dari kedudukan ketika ini.

Jika benar Bruno digugurkan, maka tanggungjawab sebagai penggempur utama pasukan akan terletak di bahu Mohammed Ghaddar. Kami merasakan Kelantan akan mencari pemain import yang beraksi di posisi sayap kiri bagi melengkapkan trio serangan pasukan yang diisi oleh Do Dong-hyun dan Mohammed Ghaddar ketika ini.

Kami berpendapat perubahan yang dilakukan sejajar dengan perancangan yang dibawa oleh Fajr Ibrahim. Kami melihat Fajr mahu membawa masuk pemain yang menepati kriteria yang beliau mahukan. Ini kerana beberapa pemain yang ada dalam pasukan ketika ini tidak menepati kriteria yang ditetapkan oleh Fajr.

Apa yang pasti, tujuan Kelantan mahu merombak barisan pemain adalah untuk mengubah wajah pasukan kepada yang lebih baik. Mereka mahukan pemain yang berkualiti bagi membarisi kesebelasan utama pasukan. Bibi Ramjani juga menyatakan bahawa rombakan ini dilakukan bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan Kelantan.

Apa pendapat anda mengenai khabar yang mengatakan bahawa Bruno Lopes bakal digugurkan oleh pasukan Kelantan ? Adakah pengguguran Bruno Lopes ini adalah satu tindakan yang tepat yang diambil oleh KAFA ?

Baca Juga: Nor Farhan Muhammad Tinggalkan Pasukan Kelantan ?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *