“Buktikan Kalau Betul Ada Penaja”
- Liga Perdana
- Jan 19, 2019
- No comment
Seramai 18 pemain Perlis Northern Lions 2 menggesa agar Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) membuktikan jika benar ada penaja yang berminat untuk menaja pasukan namun kemudiannya membatalkan niat mereka.
Ketua pasukan PNL 2, PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman berkata kenyataan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie mengenai kehilangan empat penaja besar yang menarik diri bagi membantu pasukan itu tidak jelas dan sukar untuk dipercayai.
Katanya, alasan hanya kerana pasukan itu berpengkalan di Perlis sehinggakan pihak yang mahu menaja enggan meneruskan niat mereka adalah satu alasam yang boleh dikatakan sebagai tidak mungkin.
“Setidak-tidaknya akan ada seorang wakil daripada pihak penaja berpangkalan di Perlis dalam ‘memantau’ latihan dan pengurusan pasukan, mustahil penaja tidak arif dalam perkara sebegini.
“Sepanjang karier saya dalam sukan bola sepak, selalunya ada penaja akan bersetuju dan menandatangani kontrak untuk menaja pasukan selewatnya sebulan dari liga bermula atau pada pramusim.
“Persoalannya, betulkah ada empat pihak yang mahu taja Perlis? Atau sekadar gimik saja? Dalam keadaan Perlis sebegini (dilanda hutang) sejak bertahun-tahun, saya kurang yakin dan berharap pihak berkenaan tampil serta perjelaskan keadaan sebenar bukannya sekadar cakap sahaja,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sebelum ini, empat penaja utama menarik diri daripada menaja pasukan Perlis berikutan kemelut tunggakan gaji pemain yang melanda pasukan itu baru-baru ini.
Ahmad Amizal mendakwa, kantung PFA juga kosong dan pasukan itu bergelut untuk mengharungi kancah Liga Malaysia 2019 apabila jumlah penajaan didakwa bernilai jutaan ringgit terlepas begitu saja berikutan kemelut yang melanda meskipun rundingan sudah mencapai kesepakatan pada 95 peratus.
Tambah Ezzrul Ikmanizar, beliau dan rakan-rakan memegang janji Ahmad Amizal bahawa beliau akan bertemu mereka pada 25 Januari depan bagi membincangkan masalah dihadapi antara mereka.
“Kami berpegang pada kata-kata dia (Ahmad Amizal) meskipun sebelum ini dia banyak berdolak-dalih ketika kami bertanya mengenai status gaji tertunggak kami dan bila boleh berjumpa dengannya.
“Jika kali ini dia masih lari, kami tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung perkara ini dan beberapa salah laku pengurusan PFA sebelum ini,” tambahnya.
Baca Juga: Apa Nasib Pemain Perlis Selepas Ini?