Casagrande Semakin Hampir Sertai Melaka United ?
- Liga Super
- Jan 10, 2019
- No comment
Bekas penyerang import Kuala Lumpur dan Felcra FC, Anselmo Aruda Da Silva atau yang lebih dikenali dengan nama Casagrande dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai pasukan Melaka United bagi saingan Liga Malaysia musim ini.
Pemain import dari Brazil ini tampil dalam perlawanan persahabatan dimana Melaka berjaya menewaskan kelab dari Singapura, Warriors FC dengan keputusan 5-1. Anselmo berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut.
Casagrande mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada musim 2016 dimana beliau mewakili pasukan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Perdana. Namun, pemain berusia 29 tahun ini hanya beraksi selama enam bulan bersama skuad The City Boys.
Selama enam bulan bersama Kuala Lumpur, Anselmo berjaya menjaringkan 8 gol dalam saingan Liga sebelum beliau digantikan dengan Diego Inostroza. Dua tahun kemudian, Casagrande kembali ke Liga Malaysia kali ini beliau beraksi bersama Felcra FC.
Dalam saingan Liga Perdana musim lalu, Anselmo menampilkan persembahan terbaik dimana beliau berjaya menjaringkan 19 gol sekaligus menjadi penjaring terbanyak Liga. Beliau mempunyai kelebihan 5 gol dihadapan empat pemain lain iaitu Bobby Gonzales, Hector Ramos, Kpah Sherman dan Thiago Augusto Fernandez.
Bagi saingan musim lalu, jentera serangan Melaka United diisi oleh penyerang dari Bulgaria, Yahor Zubovich dan pemain dari Nigeria, Ifedayo Olesegun Omosuyi.
Meskipun kedua-dua pemain ini beraksi dengan baik dimana Zubovich menjaringkan 12 gol dan Ifedayo menjaringkan 8 gol dalam saingan Liga, Melaka United Soccer Association (MUSA) dilihat tidak berhasrat untuk menyambung kontrak dua pemain import ini dan mahu menggunakan pemain import baru.
Selain menguji Casagrande, Melaka United turut menguji penyerang dari Serbia, Luka Milunovic. Dalam beberapa siri perlawanan persahabatan, Milunovic telah berjaya menjaringkan empat gol setakat ini dan beliau berpeluang cerah untuk mendapatkan kontrak daripada MUSA.
Jika Anselmo Aruda dan Luka Milunovic berjaya memikat hati barisan kejurulatih serta pengurusan pasukan, maka kedua-dua pemain akan mengisi jentera serangan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.
Baca Juga: Syazwan Andik Jadi Rebutan