China Halangan Terbesar Pasukan Kebangsaan
- Harimau Malaya
- Nov 13, 2018
- No comment
Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui pasukan China akan menjadi halangan terbesar Malaysia dalam saingan peringkat kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur pada 22 Mac tahun depan.
Skuad Harimau Malaya diundi bersama pasukan China, Laos dan Filipina dalam misi memburu slot 16 pasukan terbaik untuk mara ke pusingan terakhir yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Januari 2020.
Kim Swee percaya anak-anak buah beliau mampu untuk mencipta kejutan sepertimana yang dilakukan oleh mereka pada saingan edisi 2018 dimana Malaysia mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah pertandingan.
“Kalau mengikut undian, China adalah halangan terbesar tapi kita tak boleh memandang rendah Filipina dan Laos, mereka ada program persiapan pasukan yang baharu.
“Apa yang penting adalah persiapan kita dan jika mengikut perancangan saya percaya kita mampu layak secara merit sekali lagi tapi bukan jalan yang mudah untuk layak secara merit jika tidak mempunyai perancangan betul,” katanya kepada Sukan NSTP.
Sebanyak 44 pasukan berentap dalam 11 kumpulan dengan juara kumpulan layak ke pusingan akhir bersama tuan rumah Thailand serta empat pasukan tempat kedua terbaik.
Datuk Ong Kim Swee masih mempunyai beberapa pemain yang layak untuk beraksi dalam saingan peringkat kelayakkan tahun hadapan seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Haziq Nadzli, Syazwan Andik Ishak dan Rodney Celvin.
Tambah Datuk Ong, beliau sudah mengenal pasti barisan pemain yang akan memulakan sesi latihan pusat pertama pada hujung bulan ini.
“Persiapan kita bermula pada penghujung bulan November dengan kita akan bermain dalam Piala Newspaper di Vietnam. Pemain berusia 21 tahun yang saya kenal pasti daripada skuad Piala Presiden, SUKMA dan pemain yang masih boleh beraksi dengan kita seperti Daniel Amir dan beberapa pemain lain kemungkinan akan bersama kita di Vietnam.
“Selepas itu pada Januari kita akan mengadakan latihan selama 20 hari, 10 hari di Kuala Lumpur dan 10 hari lagi di luar negara bagi aksi persahabatan di mana pada Februari saya akan mengumpul pemain terbaik utk Piala AFF di Kemboja sebelum pusingan kelayakan,” kata Datuk Ong.
Kejohanan penting untuk pasukan bawah 23 tahun negara kerana ianya menawarkan tiket untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik 2020.
Baca Juga: Hadi Fayyadh Berangkat Ke Jepun Buat Kali Ketiga