Dari Piala Asia Ke Saingan Liga Malaysia ?
- Lain-lain
- Aug 20, 2018
- No comment
Ketua jurulatih yang berjaya membimbing pasukan kebangsaan Filipina ke saingan Piala Asia tahun hadapan, Thomas Dooley dikhabarkan berminat untuk melatih pasukan dalam saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.
Pada perlawanan antara pasukan Perak menentang Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras dalam saingan Piala Malaysia 2018, Dooley dilihat hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
Menurut sumber kami, jurulatih yang sudah berkhidmat selama empat tahun bersama pasukan kebangsaan Filipina ini telahpun mengadakan perbincangan dengan beberapa pasukan dalam saingan Liga Malaysia bagi perancangan pada musim hadapan.
Nama Thomas Dooley mendadak meningkat naik apabila beliau berjaya mengubah pasukan Filipina menjadi pasukan yang digeruni di peringkat Asia Teggara dengan menggunakan gabungan pemain tempatan, naturalisasi dan juga pemain kacukan.
Sejak Dooley menjadi ketua jurulatih pada 2014, kedudukan pasukan Filipina dalam ranking FIFA meningkat naik dari kedudukan ke-130 ke kedudukan ke-115 ketika ini.
Bekas penolong kepada Jurgen Klinsmann ini kemudiannya membimbing The Azkals layak ke temasya Piala Asia yang pertama dalam sejarah bola sepak negara itu dengan menjadi juara kumpulan F ketika kempen kelayakkan. Filipina mengharungi kempen kelayakkan tanpa sebarang kekalahan dan mereka berjaya menjaringkan 13 gol.
Pengalaman yang dimiliki oleh Dooley boleh dimanfaatkan oleh pasukan Liga Malaysia untuk meningkatkan lagi kualiti dan juga persembahan pasukan. Kejayaan bersama pasukan kebangsaan Filipina sudah cukup dijadikan sebagai rujukan tentang apa yang mampu dilakukan oleh Dooley.
Kini, bekas ketua pasukan Amerika Syarikat ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF) mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak beliau pada Jun lalu. PFF menawarkan jawatan sebagai pengarah teknikal kepada Dooley.
Namun, Dooley ennggan untuk menerima tawaran tersebut dan kemudiannya mengucapkan selamat maju jaya kepada Filipina pada temasya Piala Asia nanti.
Pasukan Liga Malaysia manakah yang bakal menjadi pilihan Thomas Dooley pada saingan musim hadapan ? Adakah pasukan dari saingan Liga Super ? Atau dari saingan Liga Perdana ?
Baca Juga: 2018 Tahun Terbaik Bola Sepak Asia Tenggara